Op Hazard: Rampasan e-waste akan dilelong selepas kes mahkamah selesai

KUALA LUMPUR - Sisa elektronik (e-waste) yang dirampas menerusi Op Hazard pada Sabtu lalu akan dijadikan sebagai barang bukti untuk pendakwaan di mahkamah, sebelum ia dilucuthakkan untuk dilelong kepada syarikat berlesen.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, semua bahan yang disita itu akan dipantau dan dalam masa sama sampel akan diambil sebagai bahan bukti.
"Seterusnya ia akan dijadikan afidavit di mahkamah sebelum dilelong kepada pihak dan syarikat yang mempunyai lesen dengan JAS.
"Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim di Bukit Aman.
Menurut Wan Abdul Latiff, sebanyak 156 kemudahan pemerolehan kembali e-waste yang dilesenkan mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Di mana sebanyak 111 buah Kemudahan Pemerolehan Kembali e-waste Separa manakala bakinya sebanyak 45 buah merupakan Kemudahan Pemerolehan Kembali e-waste Penuh.
"Mana-mana kilang yang tiada dalam senarai yang dilesenkan adalah dikategorikan sebagai premis haram," kata beliau.
Menurutnya, menerusi Op Hazard yang dilaksanakan di seluruh negara pada Sabtu lalu pihaknya mendapati 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis adalah premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), dan satu gudang haram.
"Susulan itu 37 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.
"Selain itu, sebanyak 59 Notis Arahan dan 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," ujarnya.
Beliau berkata, sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah.
"Di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974, sebarang penempatan buangan terjadual, sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, serta aktiviti transit atau membenarkan e-waste ditransit tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar, adalah satu kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
