Op Hazard: Sisa e-waste bernilai RM2.68 bilion dirampas di seluruh negara

Azmi (kiri) ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Khamis.
Azmi (kiri) ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai sisa elektronik (e-waste) dianggarkan bernilai RM2.86 bilion melalui Op Hazard di seluruh negara pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan sisa e-waste seberat 22.9 juta kilogram.

"Selain itu sebanyak 365 fasiliti antaranya mesin memproses, penimbang berat dan sebagainya dianggarkan bernilai RM83 juta," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar

Menurut Azmi, operasi itu dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) KDNKA Bukit Aman bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa agensi lain telah menggempur 47 premis haram di seluruh negara.

"Dalam serbuan terbabit, kita berjaya merampas 128 unit kenderaan dianggarkan bernilai RM29 juta dan lain-lain barangan antaranya minyak, plastik, blok memasak dan sebagainya dianggarkan berjumlah RM67.8 juta," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan Op Hazard, Briged Utara berjaya merampas pelbagai e-waste dianggarkan bernilai RM1.61 bilion; Briged Tengah (RM701.68 juta); Briged Tenggara (RM401.1 juta), Briged Sarawak (RM76.4 juta) dan Briged Sabah (RM65.1 juta).

“Seramai 246 individu terdiri daripada 218 lelaki, 27 wanita dan seorang kanak-kanak turut ditahan membabitkan 70 warga tempatan, China (56); Myanmar (70), Bangladesh (28), Indonesia (15), Kemboja (4) dan Filipina (3),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mengikut rekod, sebanyak 3.8 bilion rampasan melibatkan e-waste dicatatkan sejak Januari 2024 sehingga 17 Februari lalu melalui 90 serbuan dengan 538 tangkapan di seluruh negara.

Jelas beliau, Op Hazard dijalankan ekoran e-waste dikesan menjadi suatu ancaman yang berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa serta rasuah selain menggugat keselamatan dan ketenteraman awam dari sudut kesihatan masyarakat, ekonomi dan kewujudan pasaran gelap berikutan larangan import atau eksport sisa terbabit.

Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.

Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.

Susulan laporan itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhbar memberitahu seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses e-waste haram pada 5 Ogos di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta Johor.

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki juga menyifatkan sindiket memproses e-waste haram berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa, rasuah serta kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!