Malaysia masih jadi pusat lambakan e-waste dari negara maju

Malaysia masih dijadikan tempat pembuangan dan transit sisa elektronik berjadual dari negara maju. (Gambar kecil: Haliza)
Malaysia masih dijadikan tempat pembuangan dan transit sisa elektronik berjadual dari negara maju. (Gambar kecil: Haliza)
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia masih menjadi salah satu pusat lambakan e-waste dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Pakar tadbir urus alam sekitar dan sains kelestarian dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya 200 loji yang mengitar semula e-waste secara haram di negara ini.

Malah katanya, pada Oktober 2023 lebih daripada 1,000 kontena dengan bertan-tan berat sisa elektronik diimport dan diproses secara haram di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pencemaran bahan buangan terkawal di negara ini.

“Ini bukan masalah baharu dan kita boleh katakan bahawa Malaysia masih dijadikan tempat pembuangan dan transit sisa elektronik berjadual dari negara maju.

“Berdasarkan rekod, pada tahun 2022 sahaja, pihak berkuasa menghantar balik 19 kontena mengandungi bahan itu ke negara asal membabitkan Amerika Syarikat, Sepanyol, Australia, Belgium dan Jepun.

“Lebih memburukkan keadaan, Malaysia adalah antara negara menjadi pusat memproses sisa buangan berjadual untuk dijadikan jongkong sebelum dieksport ke China,” katanya.

Justeru, bagi menutup ruang penyeludupan e-waste, beliau mencadangkan empat kaedah yang boleh dilakukan kerajaan, antaranya ialah meningkatkan penguatkuasaan terutama di pintu masuk negara seperti pelabuhan utama.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan untuk memperketat dan menambah baik perundangan sedia ada.

“Kita juga boleh mendidik masyarakat tentang keburukan e-waste.

Artikel Berkaitan:

“Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara anggota khususnya negara maju harus patuhi sepenuhnya Konvensyen Basel,” jelasnya.

Menurut Konvensyen Basel, semua pergerakan rentas sempadan bahan buangan terjadual perlu mempunyai kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, penghantaran, import dan eksport dapat dijalankan.

@sinarharianonline Malaysia masih menjadi salah satu pusat lambakan e-waste dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom. Pakar tadbir urus alam sekitar dan sains kelestarian dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya 200 loji yang mengitar semula e-waste secara haram di negara ini. #SinarHarian #SinarTerkini #ewaste Promotional - FlyFlyMusic

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!