8 MP PKR desak Anwar gantung tugas Azam, siasatan bebas disegerakan

Rafizi (tengah) bersama Rodziah dan Wong dalam sidang media di Ampang, pada Jumaat.
Rafizi (tengah) bersama Rodziah dan Wong dalam sidang media di Ampang, pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan menyegerakan siasatan bebas serta telus ke atas beliau berkait dakwaan pemilikan saham.

Siasatan juga digesa dibuat berhubung dakwaan pimpinan suruhanjaya itu bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing korporat dan mengatur pengambilalihan syarikat.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mewakili kumpulan wakil rakyat itu menegaskan, ia kerana tidak berbaloi kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang atas tuduhan-tuduhan yang melibatkan seorang penjawat awam.

“Kalau contohnya PH dihukum atas skandal yang libatkan pimpinan kanan parti dan prestasi kerajaan, (kami ahli Parlimen PKR) faham.

“Tetapi kalau rakyat menghukum PH dan Anwar (pula) gagal menjadi Perdana Menteri untuk penggal seterusnya atas alasan dilihat melindungi dan tidak mengambil tindakan atas dakwaan terhadap Azam, ia sangatlah tidak berbaloi kepada kami yang dah hampir atau lebih 30 tahun di dalam PKR dan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan laporan penyelewengan membabitkan SPRM seperti yang dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang di sini pada Jumaat.

Tujuh ahli Parlimen yang menyokong kenyataan tersebut ialah Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Ir Zahir Hassan (Wangsa Maju), S Kesavan (Sungai Siput) dan Tan Kar Hing (Gopeng).

Pada Khamis, satu laporan oleh Bloomberg mendakwa SPRM termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.

Sebelum itu, portal berita itu turut melaporkan Azam didakwa mempunyai pemilikan saham bernilai jutaan ringgit yang mana perkara itu juga tular dan menjadi bualan hangat ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Rafizi berkata, dakwaan-dakwaan yang dibuat mengenai salah laku dan penyelewengan kuasa di dalam agensi-agensi kerajaan itu seperti yang dilaporkan Bloomberg minggu ini adalah sangat serius.

Katanya, ia menjadi mimpi ngeri buat rakyat Malaysia yang pernah melalui episod seperti itu hampir sepuluh tahun lalu di kemuncak skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Beberapa contoh kes penyelewengan yang dilaporkan sudah cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa satu siasatan yang bebas dan telus perlu disegerakan.

“Antaranya, pertama seorang individu disiasat atas tuduhan terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM500 juta dengan menggunakan syarikat-syarikat senaraian awam di bursa saham untuk mencuci hasil dari kegiatan kongsi gelap.

“Kes disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tahun 2021 dan siasatan dibuat bersama-sama dengan SPRM. Walau bagaimanapun, kes itu berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar dari wang RM500 juta itu dikembalikan kepada individu itu,” ujarnya.

Menurutnya, Azam juga didakwa telah campur tangan dalam satu kes polis melibatkan seorang individu yang dikatakan kenalan rapatnya berhubung kes melibatkan senjata api namun kes terbabit berakhir dengan senjata api dipulangkan semula kepada individu berkenaan tanpa ada sebarang pendakwaan.

Selain itu, beliau berkata, Bloomberg turut mendakwa SPRM bersekongkol dengan sekumpulan ahli perniagaan dengan menyalahgunakan kuasa untuk mengugut, menekan dan mendakwa ahli-ahli perniagaan lain dengan tujuan memaksa syarikat-syarikat diserahkan kepada ahli perniagaan tertentu.

Dakwanya, pakatan berkenaan melibatkan bayaran hingga mencecah jutaan ringgit setiap satu.

“Contoh-contoh pendedahan ini adalah cukup serius. Ia bukan sahaja melibatkan SPRM, tetapi agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan LHDN. Paling membimbangkan, seorang ahli perniagaan yang didedahkan oleh Bloomberg dituduh terlibat dalam kegiatan mencuci wang haram dari hasil jenayah kongsi gelap menggunakan sebuah syarikat bernama MMAG Holdings Bhd

“Seperti yang pernah didedahkan sebelum ini, MMAG Holdings Bhd pernah dikuasai oleh Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Anwar. Jadi implikasinya sangat besar kepada negara,” dakwanya.

Ekoran itu, Rafizi mengingatkan Anwar supaya tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang pernah dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa skandal 1MDB dahulu.

Katanya, gesaan supaya Azam digantung dan siasatan telus itu juga dibuat oleh kerana reaksi Anwar terhadap laporan pertama Bloomberg dilihat cuba menutup kes itu.

“Kita berharap perkara ini diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan terutama oleh Anwar sebagai Perdana Menteri reformasi Malaysia,” gesanya lagi.

Ringkasan AI

  • Lapan Ahli Parlimen PKR mendesak Anwar Ibrahim supaya menggantung Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan mengadakan siasatan bebas
  • Siasatan disarankan atas dakwaan pemilikan saham oleh Azam Baki dan dakwaan kerjasama dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing
  • Rafizi Ramli mewakili ahli parlimen tersebut menyatakan kegagalan Anwar mengambil tindakan boleh merugikan PKR dan PH dalam pilihan raya umum akan datang
  • Bloomberg melaporkan SPRM dan Azam Baki melakukan penyelewengan, termasuk kolusi dengan ahli perniagaan untuk mengambil alih syarikat secara paksa
  • Rafizi mengingatkan Anwar supaya tidak mengulangi kesilapan seperti skandal 1MDB dan memberi perhatian serius terhadap dakwaan yang dibuat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!