Perlu hukuman tegas, bukan lagi amaran

MULAI 1 Januari lalu, kedai dobi dan bangunan pejabat di seluruh negara telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Langkah itu adalah satu lagi inisiatif kerajaan dalam usaha mengurangkan tabiat merokok di tempat awam dan melindungi masyarakat daripada bahaya asap rokok.
Ia juga langkah tepat dan strategik diambil kerajaan berlandaskan kesihatan awam sejagat.
Selain memperluaskan kawasan larangan, kerajaan turut membenarkan orang awam merakam gambar atau video perokok yang masih berdegil sebagai bukti untuk tindakan penguatkuasaan.
Bukti tersebut boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa bagi membantu melaksanakan undang-undang dengan lebih berkesan.
Langkah itu sudah pasti memberi kelegaan kepada golongan yang tidak merokok kerana boleh menghindarkan mereka daripada asap berbahaya, namun sudah pasti menimbulkan rasa tidak puas hati golongan perokok.
Pemilik premis dan aktivis kesihatan awam pula menyuarakan kebimbangan sekiranya rakaman tersebut mungkin disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Isu privasi dan potensi penyalahgunaan rakaman antara cabaran utama perlu ditangani oleh kerajaan dalam melaksanakan peraturan berkenaan.
Sebelum ini larangan merokok telah dikuatkuasakan di restoran, taman awam, hospital, sekolah dan pengangkutan awam tetapi masih ramai enggan mematuhi peraturan tersebut.
Walaupun denda telah dikenakan, hukuman sedia ada nampaknya masih belum cukup untuk membendung tabiat merokok di kawasan larangan.
Malah, pelbagai kempen antimerokok dalam mengurangkan bilangan perokok di Malaysia dengan pelaburan kewangan yang besar juga telah dilaksanakan.
Amaran dan kompaun sahaja nampaknya tidak mencukupi, sebaliknya terus kepada tindakan tegas atau dibawa ke muka pengadilan supaya golongan perokok sedar bahawa penguatkuasaan bukan sekadar nasihat.
Selain kesan buruk kepada kesihatan, aspek kebersihan sebenarnya turut menjadi isu utama. Di bangunan pejabat misalnya, kawasan tangga yang jarang digunakan sering menjadi lokasi merokok.
Akibatnya, bau asap rokok mencemari persekitaran dan puntung rokok mencemarkan pemandangan, sekali gus merosakkan imej premis berkenaan.
Kerajaan mengambil langkah tersebut berdasarkan kajian yang menunjukkan pendedahan kepada asap rokok di tempat kerja dan kawasan tertutup boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan pekerja serta pelanggan.
Asap rokok bukan sahaja membahayakan perokok tetapi juga individu lain yang terdedah kepadanya.
Justeru, penguatkuasaan larangan merokok di kedai dobi dan bangunan pejabat serta kebenaran merakam perokok di kawasan larangan sangat dialu-alukan.
Namun, pada masa sama cabaran dari segi pematuhan, penguatkuasaan dan sensitiviti sosial perlu diberikan perhatian.
Kerajaan perlu memastikan ia dilaksanakan dengan adil dan tidak menimbulkan konflik dalam masyarakat.
Pendekatan seperti pengawasan yang lebih ketat, denda lebih tinggi dan program berhenti merokok yang lebih berkesan boleh membantu memastikan kejayaan pelaksanaan langkah tersebut.
Selain itu, kebimbangan mengenai hak privasi individu perlu ditangani secara teliti agar dasar tersebut dapat diterima dengan baik oleh semua pihak.
Orang ramai juga perlu dididik mengenai etika dan batasan dalam merakam perokok supaya tidak menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Dengan perancangan yang teliti dan pemantauan yang efektif, langkah berkenaan dilihat berpotensi membawa perubahan positif dalam usaha Malaysia mencapai masyarakat bebas asap rokok pada masa depan.
*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
