Lebih 19,000 kompaun bernilai RM4.8 juta di bawah Akta 852

Dr Dzulkefly pada sidang media operasi Penguatkuasaan Akta 852 dan Akta 281 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Dr Dzulkefly pada sidang media operasi Penguatkuasaan Akta 852 dan Akta 281 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 19,340 kompaun dikenakan terhadap individu dan premis perniagaan di seluruh Malaysia susulan penguatkuasaan di bawah Seksyen 47, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kompaun telah dikenakan sejak 1 Oktober tahun lalu hingga 31 Januari 2025 adalah sekitar RM4.8 juta.

“Sepanjang tempoh itu, kami menjalankan sebanyak 7,228 operasi membabitkan sebanyak 142,158 premis diperiksa.

"Selain itu, sebanyak 162,229 penguatkuasaan pendidikan dilakukan sepanjang tempoh sama," katanya pada sidang media operasi Penguatkuasaan Akta 852 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281) di sini, pada Rabu.

Bermula 1 Oktober lalu, Akta 852 telah diwartakan pada 2 Februari 2025 berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika disasarkan kepada golongan kanak-kanak serta remaja.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkongsi, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1,430 notis kesalahan mengikut Seksyen 16 iaitu larangan merokok dalam 160 operasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 1 Oktober tahun lalu sehingga 3 Februari lalu.

Katanya, tiga notis juga dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 18.

"Sebanyak 299 premis di pasar malam dan kawasan sekitarnya diperiksa dalam operasi kali ini dan 105 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Akta 852 dan Akta 281 sejak 5 hingga 19 Februari.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan mengikut Akta 852 membabitkan masing-masing satu notis kesalahan mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 12, 62 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 dan tiga notis di bawah Seksyen 18,” jelas beliau.

Bagi kesalahan di bawah Akta 281 pula, sebanyak 38 notis dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menyempurnakan penyerahan plak pengiktirafan 'Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada empat premis makanan yang telah memenuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Setakat ini, sebanyak 13,307 premis makanan sudah mendapat pengiktirafan BeSS di seluruh negara sehingga Disember tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!