Warga asing tidak dibenar niaga di bazar Ramadan Kelantan

Warga asing tidak dibenarkan berniaga di bazar Ramadan Kelantan bagi memastikan peluang ekonomi diberikan sepenuhnya kepada rakyat tempatan. Gambar kecil: Hilmi
Warga asing tidak dibenarkan berniaga di bazar Ramadan Kelantan bagi memastikan peluang ekonomi diberikan sepenuhnya kepada rakyat tempatan. Gambar kecil: Hilmi
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan berniaga di bazar Ramadan negeri ini bagi memastikan peluang ekonomi diberikan sepenuhnya kepada rakyat tempatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tiada permit dikeluarkan kepada peniaga asing dan tindakan akan diambil jika mereka dikesan menjalankan perniagaan di bazar Ramadan.

“Permit kerja warga asing secara umum hanya membenarkan mereka bekerja dalam sektor tertentu seperti pembinaan, ladang dan kerja-kerja atau sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

“Namun, untuk perniagaan di bazar Ramadan, warga asing tidak dibenarkan berniaga sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu ini bagi melindungi kepentingan peniaga tempatan yang bergantung kepada bazar Ramadan sebagai sumber pendapatan utama.

Hilmi turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap kes ‘Ali Baba’ iaitu sekiranya peniaga tempatan menyewakan atau memindahkan lesen kepada orang lain lebih-lebih lagi warga asing.

“Sekiranya terdapat peniaga tempatan yang memberikan ruang kepada warga asing untuk berniaga dengan menggunakan lesen mereka, kita tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen tersebut,” katanya.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan arahan ini dipatuhi sepenuhnya termasuk di 478 petak di sembilan lokasi bawah seliaan MPKB-BRI.

Dalam perkembangan lain, Kelantan bakal menyambut ulang tahun 20 tahun Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam menerusi program khas Madinah Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Hilmi berkata, pelbagai pengisian menarik telah dirancang, termasuk pameran sejarah Kota Bharu berkonsepkan muzium yang akan memaparkan sejarah bandar itu dari tahun 1957 hingga kini.

“Kita akan tunjukkan bagaimana Kota Bharu berkembang sebagai sebuah bandar Islam.

“Ini termasuk pameran suasana bandar pada zaman dahulu serta perubahan yang berlaku selepas diiktiraf sebagai Bandaraya Islam,” katanya.

Sementara itu, satu program khas suara Palestin akan diadakan pada 4 Mac 2025 yang menampilkan imam jemputan dan sesi perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengenai keadaan terkini di Palestin.

“Program Madinah Ramadan juga akan menampilkan dua imam dari Mesir, yang akan mengimamkan solat sepanjang Ramadan.

“Bagi memeriahkan sambutan, tema utama tahun ini adalah warna putih sebagai simbolik mengimbau sejarah Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!