KPDN pastikan bekalan minyak masak peket cukup di Sabah

PUTATAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan bekalan minyak masak peket mencukupi untuk diagihkan kepada rakyat di negeri ini termasuk menjelang Ramadan.
Timbalan menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan bagi proses pembungkusan minyak masak di Kota Kinabalu untuk memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi.
"Proses pembungkusan berjalan dengan lancar dan saya ingin pastikan bahawa di zon tidak berlaku kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi dan dapat disediakan untuk di Jualan Rahmah.
"Ini antara perkara-perkara yang kita nak pastikan supaya rakyat dapat merasakan subsidi kerajaan ini, jadi setakat yang saya dimaklumkan, ada yang tak berapa cukup lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di premis pembungkusan minyak di Kolombong, dekat sini pada Ahad.
Tambah beliau, setakat ini kuota yang disediakan adalah sebanyak 5,733 metrik tan minyak masak peket bersubsidi diagihkan untuk zon sekitar Sabah.
"Jadi mungkin kita kena lihat bagaimana kita punya agihan di satu-satu zon, sebab kadang-kadang untuk pengeluaran pada bulan itu terhenti kerana mereka sudah habis kouta sebab itu ada kekurangan ketika itu.
"Bagaimanapun, setakat ini bekalan stabil dan di Jualan Rahmah pun dapat kita sediakan minyak masak peket, begitu juga di zon-zon yang kita kena pastikan kawasan itu menerima minyak masak peket ini," katanya.
Sementara itu, ditanya bekalan minyak masak menjelang Ramadan, Fuziah berkata, pihak KPDN akan terus memantau dan melakukan penguatkuasaan bagi memastikan barangan bersubsidi cukup untuk rakyat.
"Kita akan turun padang ke semua tempat termasuk bazar Ramadan bagi memastikan bahawa tiada elemen pencatutan berlaku sebab selama ini pun setiap hari mereka memeriksa pasar raya dan premis lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!