Di sana berebut kerana makanan, di sini berebut kerana beg tangan

MERAK Jalanan tak boleh nak hadam bagaimana seseorang itu sanggup beratur berjam-jam untuk mendapatkan barangan yang bukan percuma.
Ini merujuk kejadian tular baru-baru ini apabila pembeli, majoritinya wanita muda, sanggup beratur sehingga 15 jam untuk membeli beg tangan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Merak Jalanan pada mulanya menyangka beg tangan tersebut jenama antarabangsa, tapi rupa-rupanya produk tempatan yang diasaskan orang kita.
Di satu sudut, Merak Jalanan tumpang bangga kerana ada orang kita berjaya dalam perniagaan. Sudah tentu bukan mudah untuk membina sesuatu jenama tempatan sehingga jadi rebutan ramai.
Cuma Merak Jalanan tidak berkenan apabila berlaku adegan berebut-rebut dan tolak-menolak disebabkan terlalu ramai pembeli beratur. Malah, berlaku pertengkaran apabila pembeli yang sudah penat beratur terpaksa pulang hampa dengan tangan kosong.
Namun, inilah gejala fear of missing out (FOMO) yang sudah menjangkiti orang kita. Keadaan seseorang itu rasa bimbang tertinggal trend terkini. Mereka yang mempunyai gejala ini merasakan bahawa apabila orang lain ada, dia pun mesti kena ada.
Ada juga dalam kalangan pembeli merupakan personal shopper yang mengambil untung menjual semula dengan harga lebih tinggi.
Merak Jalanan tak mahu komen panjang pasal isu ini kerana itu hak masing-masing. Cuma terfikir betapa bertuahnya kita hidup di Malaysia.
Orang kita sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan barangan mewah yang bukan satu keperluan. Sedangkan di negara luar yang sedang bergolak, mereka beratur untuk mendapatkan makanan akibat kelaparan. Bersyukurlah kita!
Tapi, kalau nak tengok orang kita beratur panjang kerana makanan, tunggulah bulan puasa nanti di gerai bazar Ramadan yang menjual makanan tular.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
