Jabatan Pelancongan Terengganu patenkan Awang Nelang, Mek Ara

Awang Nelang dan Mek Ara hadir memeriahkan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Sukan Antara Asasi Malaysia (SAM 2025) telah dijemput khas oleh pihak Pusat Asasi STEM (PASTEM) Universiti Terengganu Malaysia (UMT) baru-baru ini. Foto: Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mendaftarkan dua maskot pelancongan iaitu penyu jantan dan betina diberi nama Awang Nelang dan Mek Ara sebagai harta intelek dan hak cipta jabatan itu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mempatenkan dua maskot tersebut pada tahun lalu.

Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi mengelak sebarang aktiviti ciplak dan salah laku oleh pihak lain.

"Kita dapat kelulusan mendaftarkan Awang Nelang dan Mek Ara dibawah harta intelek selepas ia dilancarkan pada Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu (KBTM) 2024 pada tahun lalu.

"Jadi setelah dipatenkan, ia lebih terjamin dan selamat serta tidak boleh ditiru oleh mana-mana pihak termasuk di negara luar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Maskot penyu betina bertudung dan memakai terendak, Mek Ara ketika memeriahkan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Sukan Antara Asasi Malaysia (SAM 2025) telah dijemput khas oleh pihak Pusat Asasi STEM (PASTEM) Universiti Terengganu Malaysia (UMT), baru-baru ini. Foto: Facebook Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu

Beliau berkata, tindakan juga boleh diambil sekiranya terdapat pihak didapati meniru atau mengeluarkan produk dengan reka bentuk menyerupai maskot tersebut.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang berminat untuk mengeluarkan barangan atau produk maskot penyu Terengganu itu boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Maskot penyu ini merupakan maskot rasmi negeri Terengganu dan kerajaan negeri akan meluaskan lagi promosi dan penggunaan maskot ini.

"Setakat ini kita telah mempunyai empat pasang maskot besar yang boleh digunakan untuk mempromosikan sektor pelancongan di Terengganu," ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menganjurkan pertandingan mencipta nama dua maskot iaitu penyu jantan dan betina itu untuk dijadikan sebagai identiti pelancongan negeri berkenaan.

Dua peserta iaitu Norasyikin Sulong, 32, dari Kemaman dan Suraya Hanum Zarudin, 34, dari Selangor dipilih sebagai pemenang setelah berjaya menamakan dua maskot tersebut dengan nama Awang Nelang dan Mek Ara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!