Terengganu fokus tiga produk pelancongan sempena TMM 2026

KUALA TERENGGANU - Tiga aktiviti pelancongan Terengganu iaitu Festival Candat Sotong, Pelita Raya dan Karnival Pantai antara produk pelancongan yang akan diketengahkan dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, tiga acara utama itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di samping 31 acara lain yang disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu 2025.
"Tiga produk tersebut akan diberi fokus untuk dijadikan sebagai tarikan utama dalam kalendar pelancongan tersebut.
"Persiapan terperinci juga telah dibuat untuk memastikan tiga acara utama ini dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Golden Snake Dinner anjuran Dewan Perniagaan Dan Perindustrian China Terengganu di sini, malam Isnin.
Dalam pada itu, Ahmad Ridzwan berkata, penyertaan dalam program tradisi iaitu Pelita Raya Terengganu pada tahun ini akan diperluaskan kepada negara jiran terdekat antaranya Singapura dan Thailand serta beberapa negeri lain.
Jelas beliau, program Pelita Raya 2025 kali ini dijadualkan akan diadakan selama empat hari di pekarangan Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus.
"Program ini mendapat sambutan dari negara yang berkongsi budaya yang sama ketika sambutan Ramadan dan Aidilfitri.
"Singapura telah bersetuju dan perbincangan lanjut mengenainya akan diadakan bersama konsulat negara itu manakala Thailand pula akan menghantar penyertaan melalui Pattani dan Narathiwat.
"Jadi kita jangka sudah pasti program Pelita Raya kali ini akan lebih meriah dengan tradisi menggunakan minyak gas dan sumbu serta pelita elektronik bagi menjaga kelestarian alam sekitar," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan kehadiran pelancong di negeri itu sepanjang 2023 merekodkan lebih 8 juta pelancong dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu jumlah kehadiran pelancong asing hanya mencatatkan seramai 40,000 pelancong asing daripada China, Itali dan Perancis.
Katanya, pelancong asing berkenaan melawat di pulau peranginan termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
"Kita akan mempergiatkan lagi aktiviti di pulau peranginan di negeri ini bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong asing ke negeri ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!