Tiga aspek harga perlu seimbang untuk pulih industri padi

ALOR SETAR - Tiga aspek harga melibatkan belian padi, benih dan beras putih tempatan perlu seimbang untuk memulihkan industri padi agar pesawah menikmati pulangan setimpal.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, ketidakseimbangan aspek berkenaan menyebabkan industri padi masih berdepan pelbagai masalah.
Menurutnya, masalah tersebut tidak akan selesai apabila satu aspek harga sahaja yang mengalami kenaikan manakala selebihnya tidak diselesaikan.
“Apabila harga beras tidak dinilai semula atau tiada kenaikan pada tahap munasabah ia akan menyebabkan industri padi tidak seimbang.
“Justeru, ketiga-tiga aspek harga ini penting untuk diselaraskan bagi mengharmonikan industri padi,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, mungkin agak sukar untuk menaikkan lagi lantai harga belian padi, namun kerajaan boleh meneliti semula subsidi harga padi agar ditingkatkan kepada RM800 berbanding RM500 pada ketika ini.
“Harga benih padi sah juga perlu diturunkan kerana harga di pintu kilang kini RM55, dijual antara RM60 hingga RM80 dan dianggap terlalu tinggi.
“Harga ini meningkat setelah pengilang memohon kerajaan menaikkannya mengikut kadar harga semasa.
“Apabila harga belian padi rendah sepatutnya harga benih juga turun kepada kadar RM35,” katanya.
Menurutnya, peruntukan RM150 juta kepada pengilang padi bagi memastikan harga jualan maksimum beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram juga tidak akan menyelesaikan masalah.
“Dari pengamatan PeSAWAH, 24 juta kampit beras dengan nilai RM150 juta dianggarkan lebih kurang RM6 untuk penambahan itu. Apakah kaedahnya, macam mana ia diedarkan dan berapa lama boleh bertahan dengan nilai tersebut?
“Lebih baik diberikan subsidi terus kepada pesawah menerusi subsidi harga padi tambahan sebanyak RM300 sekali gus menjadikannya RM800. Tak perlu lagi kerajaan selaraskan di pihak pengilang atau pemberian subsidi diesel,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!