Sumbangan Syed Mokhtar bukti keprihatinan swasta bantu kerajaan

Mohamad, Syed Mokhtar
Mohamad, Syed Mokhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Sumbangan tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebanyak RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah menunjukkan semangat tanggungjawab sosial dan keprihatinan sektor swasta dalam memperkukuh industri padi beras negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menzahirkan penghargaan kepada tokoh itu berkata, komitmen dan usaha tersebut membuktikan Kerajaan Madani mendengar keluhan rakyat dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian bagi menjamin kesejahteraan petani serta kestabilan harga bahan makanan asas.

"Dengan penuh rasa syukur dan penghargaan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan komitmen beliau dalam memastikan kesejahteraan pesawah serta kestabilan harga beras putih tempatan di negara ini.

"Ucapan tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada Perdana Menteri kerana berjaya meyakinkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk memberikan sumbangan tambahan sebanyak RM30 juta kepada pesawah.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelangsungan dan kestabilan sektor pertanian negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini Mohamad mengumumkan kerajaan bersetuju menyelaraskan harga belian lantai padi kepada RM1,500 setiap tan metrik berbanding RM1,300 berkuat kuasa Ahad ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut memaklumkan, kerajaan akan mengekalkan beras putih tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

Susulan itu Syed Mokhtar dilapor menyampaikan hasrat menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta ketika dihubungi Perdana Menteri selepas pengumuan berkenaan.

Dalam pada itu Mohamad berkata, keputusan kerajaan menyediakan subsidi RM150 juta merupakan langkah bermakna dalam meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini juga membuktikan keazaman kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan dan kelangsungan industri padi serta beras negara terus terpelihara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!