Harga lantai padi baharu bantu serap kenaikan kos, tambah pendapatan pesawah

ALOR SETAR - Penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini dapat membantu pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi selain menambah pendapatan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pengguna juga boleh menarik nafas lega apabila jualan maksimum beras putih tempatan (BPT) kekal kepada RM2.60 sekilogram.
Menurutnya, ketetapan tersebut diharapkan dapat memberikan solusi ‘menang-menang’ kepada pihak terlibat dalam rantaian industri padi.
“Penyelarasan ini bukan sahaja berita gembira kepada pesawah malah dapat bantu mereka menyerap kenaikan kos pengeluaran padi, seterusnya menambah pendapatan.
“Bagi mengekalkan harga jualan beras putih tempatan, kerajaan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ismail berkata, melalui inisiatif tersebut, 24 juta kampit BPT dengan kadar berat 10 kilogram akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berhadapan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim, kenaikan kos dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun kerajaan sentiasa menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Belanjawan 2025 turut memperuntukkan RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian bertujuan untuk meringankan beban pesawah selain untuk memperkasakan pengeluaran padi.
“Semua pihak diminta mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan selain bersama-sama menyokong segala usaha dilaksanakan kerajaan dalam memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa,” katanya.
Pada Khamis, kerajaan Persekutuan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu turut mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang MADA, Ishak Taib berkata, seluruh peladang di Kawasan Muda (MADA) menyambut baik penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik.
“Kenaikan harga lantai belian padi ini bukan sahaja bantu meningkatkan pendapatan, malah memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan usaha gigih pesawah dalam menjamin bekalan makanan negara.
“Langkah ini juga membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemampanan sektor pertanian, khususnya industri padi dan beras negara,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut akan memberikan motivasi kepada pesawah untuk terus meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran padi.
“Ia juga akan mengukuhkan lagi industri pertanian negara sebagai tulang belakang ekonomi negara.
“Saya harap kerjasama erat antara kerajaan dan peladang akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kestabilan dan kemajuan sektor pertanian pada masa hadapan.
“Kami akan terus mengambil tanggungjawab sepenuhnya sebagai pembekal makanan untuk rakyat negara ini,” katanya.
Menurutnya, peladang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin terhadap nasib mereka kesan daripada kenaikan kos pengeluaran padi, dengan mengambil langkah proaktif memberikan sokongan melalui subsidi, bantuan kewangan serta pemerkasaan teknologi pertanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!