Dua kali harga lantai belian padi dinaikkan, bukti suara pesawah didengari

ALOR SETAR - Penyelarasan harga lantai belian padi sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun oleh kerajaan membuktikan suara pesawah yang dihimpit kos pengeluaran tinggi didengari.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik selepas kenaikan daripada RM1,200 ke RM1,300 pada 2023, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah selepas hampir sedekad harga tersebut tidak berubah.
Menurutnya, kenaikan harga tersebut bukan sahaja menyebabkan pesawah memperoleh pendapatan lebih baik, malah memberikan jaminan ekonomi lebih stabil kepada golongan yang bergantung kepada industri padi sebagai sumber utama kehidupan.
“Kerajaan Madani juga memastikan langkah tersebut tidak membebankan rakyat dengan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi mengekalkan harga jualan maksimum beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.
“Ini adalah pendekatan menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan pesawah dan rakyat terus terpelihara,” katanya di sini pada Jumaat.
Mohammed Taufiq berkata, keputusan tersebut juga membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib pesawah, khususnya di Kedah yang merupakan antara penyumbang utama pengeluaran padi negara.
“Saya turut menghargai peranan Bernas (Padi Beras Nasional Berhad), khususnya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang menunjukkan komitmen membantu pesawah dengan menyalurkan tambahan RM30 juta kepada pesawah miskin.
“Inisiatif ini melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan bantuan terus sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Mohammed Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah berharap lebih banyak langkah progresif seumpama dapat diperkenalkan demi meningkatkan kesejahteraan sektor pertanian negara.
“Saya akan terus memperjuangkan kepentingan komuniti pesawah agar kebajikan mereka sentiasa terjamin,” katanya.
Pada Khamis, kerajaan Persekutuan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu turut mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

