Anak istimewa gigih berjalan guna tangan masuk prasekolah

SHAH ALAM - Diuji dengan penyakit jarang jumpa, Caudal Regression Syndrome iaitu tiada betis dan lutut berserta sumbing bukan halangan buat Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, untuk bergaul dengan rakan sebaya di sekolah.
Peniaga kuih, Siti Azah Mohd Jinal, 38, berkata, meskipun Shairid Hadif dilahirkan serba kekurangan, namun cahaya mata bongsu daripada lima adik-beradik itu amat menyenangkan hati.
Ia kerana menurutnya, Shairid Hadif sudah diajar berdikari sejak kecil dan bergantung sepenuhnya pada tangan jika ingin bergerak ke mana-mana berikutan kakinya yang tidak terlalu kuat.
“Saya secara rutin rakam kegiatan adik (Shairid Hadif) di rumah dan apabila masuk prasekolah, sebagai mak memang berdebar tapi dia pula suka, tak ada masalah.
“Alhamdulillah, tak ada yang buli anak istimewa ini, cuma ada sekali dua kawan tak sengaja terpijak sebab tak nampak dia di bawah (lantai). Selepas itu, mereka dah tahu dan lebih berhati-hati.
“Saya tahu ramai ibu bapa di luar sana yang risau saya biarkan sahaja dia bebas buat apa-apa. Iya betul sebab memang diajar berdikari sejak kecil, tapi masih di bawah pemantauan saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Memasuki sesi persekolahan pada 2025, ibu bapa sibuk menghantar anak mendaftar masuk ke sekolah sambil memuat naik gelagat masing-masing sempena hari pertama kembali ke sekolah.
Begitu juga Siti Azah yang memuat naik hantaran video mengenai anaknya pertama kali merasai suasana di sekolah.
Bagaimanapun, warga maya tersentuh hati dan sebak melihat kegigihan Shairid Hadif berjalan tanpa bantuan sokongan serta bergantung penuh pada kedua-dua tangan.
Hantaran yang dimuat naik di TikTok itu memperoleh lebih 116,000 tanda suka, 6,180 komen, bahkan 19,000 perkongsian dan 2.5 juta tontonan.
Siti Azah memaklumkan, dia tidak menyangka video terbaharunya menjadi tular kerana sebelum ini sudah sering berkongsi tentang kegiatan anaknya itu.
Dia yang menetap di Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor berpandangan, ia sebagai satu langkah untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa di luar sana bahawa anak syurga tidak patut dibiarkan begitu sahaja.
“Disebabkan video ini tular, ada yang komen guru tak ambil peduli. Bukan begitu, mereka tak salah cuma saya yang degil mahu tengok anak berjalan sendiri.
“Dengan perkongsian begini, saya harap ia sedikit sebanyak mampu memberikan inspirasi kepada masyarakat terutamanya ibu bapa yang ada anak OKU.
“Alhamdulillah ramai yang cakna dan sayangkan Shairid Hadif, saya memang terkejut tapi dalam masa sama bersyukur sangat,” ujar ibu tunggal tersebut.
@sinarharianonline Diuji dengan penyakit jarang jumpa, Caudal Regression Syndrome iaitu tiada betis dan lutut berserta sumbing bukan halangan buat Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, untuk bergaul dengan rakan sebaya di sekolah. Peniaga kuih, Siti Azah Mohd Jinal, 38, berkata, meskipun Shairid Hadif dilahirkan serba kekurangan, namun cahaya mata bongsu daripada lima adik-beradik itu amat menyenangkan hati. Ia kerana menurutnya, Shairid Hadif sudah diajar berdikari sejak kecil dan bergantung sepenuhnya pada tangan jika ingin bergerak ke mana-mana berikutan kakinya yang tidak terlalu kuat. #SinarHarian #SinarTerkini #AnakIstimewa
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!