‘Sembuhkanlah penyakit kakak Ya ALLAH, semoga kakak dapat berjalan’

KOTA BHARU - Luluh hati seorang ibu apabila setiap malam mendengar anak yang lumpuh berdoa memohon supaya dapat berjalan seperti kanak-kanak lain.
Itulah yang dialami oleh Nurul Amirah Mohd Napi, 41, ibu kepada tiga beradik yang menghidap atrofi otot spina (SMA) tahap dua dari Kampung Gaung Tendong, Pasir Mas.
Menurut Nurul Amirah, anak sulungnya, Nurul Amanda Mohamad Safuan, 11, sering menangis sebelum tidur dan berdoa kepada ALLAH agar penyakitnya sembuh.
“Setiap malam, Amanda berdoa ‘Sembuhkanlah penyakit kakak Ya ALLAH, semoga kakak dapat berjalan’.
“Saya tak kuat dengar doa itu tapi cuba bertahan sebab saya kena kuat untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kubang Kerian di sini pada Selasa.

Amanda bersama dua adiknya, Mohamad Syahmi, 8, dan Nurul Ariana, 6, sejak bayi mengalami SMA penyakit genetik yang menjadikan otot lemah secara progresif dengan melibatkan sel saraf di saraf tunjang.
Ketiga-tiga mereka lahir normal, namun kehilangan keupayaan untuk berjalan selepas berusia setahun dan memerlukan bantuan sepenuhnya dalam urusan harian termasuk makan, mandi, dan bergerak.
“Anak-anak saya bukan terlantar sepenuhnya, mereka boleh bercakap, tapi otot makin lemah.
“Amanda cuba suap makanan sendiri tapi perlu tampung siku dan yang lain-lain kalau berdiri pun sekejap saja sebelum rebah,” luahnya sebak.
Lebih menyayat hati, Amanda perlu bergantung pada mesin bantuan pernafasan sebelum tidur setiap malam.
Doktor mencadangkan pembedahan tulang belakang untuknya, tetapi Nurul Amirah dan suaminya, Mohamad Safuan Abdullah, 40, masih belum membuat keputusan kerana bimbang risiko yang bakal dihadapi anak mereka.
“Doktor cakap umur pesakit SMA jenis ini biasanya sekitar 35 tahun kalau panjang.
“Tapi saya sebagai ibu, saya sentiasa berdoa agar ALLAH panjangkan umur mereka dan beri mereka kesihatan,” katanya.
Pasangan itu turut berdepan kekangan kewangan kerana memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk kos penjagaan anak-anak syurga mereka, termasuk susu khas dan lampin pakai buang.
“Suami saya kerja di tempat proses ayam dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan.
“Kami juga perlu bayar sewa rumah RM400 sebulan dan duit yang ada memang tak cukup untuk menampung keperluan tiga anak yang sakit,” katanya.
Menurut Nurul Amirah, ketiga-tiga anaknya mendapat rawatan secara berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu sebanyak dua kali sebulan selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Syahmi dan Amanda dapat RM600 untuk enam bulan, Ariana pula dapat RM200 setiap bulan.
“Saya bagaimanapun perlukan bantuan secara bulanan berbanding enam bulan sekali untuk membeli susu khas dan lampin mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 03027020890979 atas nama Nurul Amirah Mohamad Napi atau boleh menghubunginya di talian 017-9595163.
@sinarharianonline Luluh hati seorang ibu apabila setiap malam mendengar anak yang lumpuh berdoa memohon supaya dapat berjalan seperti kanak-kanak lain. Itulah yang dialami oleh Nurul Amirah Mohd Napi, 41, ibu kepada tiga beradik yang menghidap atrofi otot spina (SMA) tahap dua dari Kampung Gaung Tendong, Pasir Mas. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #AnakOKU #TigaAnakSyurga #Kelantan
Epic Inspiration - DM Production
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

