Pemotong rumput terkejut jumpa bom tangan di LPT2

DUNGUN - Sebutir bom tangan ditemui oleh seorang pemotong rumput ketika memotong rumput di kawasan susur keluar Plaza Tol Bukit Besi di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, bom tangan itu ditemui kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
"Ketika memotong rumput, lelaki berkenaan ternampak objek yang mencurigakan. Lelaki itu menghampiri objek tersebut dan terkejut apabila mendapati ia merupakan sebutir bom tangan.
"Pemotong itu kemudian menghubungi pasukan polis dan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memeriksa objek tersebut dan menjalankan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Susulan itu, Maizura berkata, bom itu telah dilupuskan oleh pasukan unit pemusnah bom dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Terengganu kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang dipercayai meletakkan bom tangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
