Ambil pekerja bekas banduan lebih terjamin berbanding warga asing

Mohd Nasir (tengah) bersama majikan menyertai program libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu, pada Isnin.
Mohd Nasir (tengah) bersama majikan menyertai program libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majikan tidak perlu bimbang untuk mengambil bekas banduan bekerja di syarikat mereka kerana golongan itu telah melalui program pemulihan secara berperingkat mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

Pengarah Penjara Terengganu, Mohd Nasir Yusof berkata, proses pemulihan dilalui golongan itu melayakkan mereka dibebaskan untuk berada dalam masyarakat dengan jaminan keselamatan sepenuhnya oleh pihak penjara.

Menurutnya, golongan itu juga telah melalui dan perlu melepasi ujian penilaian psikologi bagi melayakkan mereka berada dalam masyarakat.

Mohd Nasir (tengah) bersama Pengarah PERKESO Terengganu, Suhara Mustaffa (kiri) ketika menyertai program libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu, pada Isnin.
Mohd Nasir (tengah) bersama Pengarah PERKESO Terengganu, Suhara Mustaffa (kiri) ketika menyertai program libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu, pada Isnin.

"Majikan tidak perlu takut kerana kita melepaskan Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) memenuhi kriteria ditetapkan.

"Prospek (bekas banduan) yang kita letakkan dalam masyarakat telah melalui proses tertentu, bukan bermakna kita condemn (mengutuk) pekerja warga asing, (kerana) mereka (pekerja asing) datang kepada kita berdasarkan profil diterima oleh majikan sahaja.

"Berbeza dengan prospek yang kita keluarkan, mereka melalui proses tertentu antaranya fasa pembangunan insan, fasa pekerjaan, fasa orientasi malah terdapat ujian yg mereka perlu capai. Jika tidak, mereka tidak boleh berada dalam masyarakat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasir berkata, setakat ini pelanggaran syarat dikesan dalam kalangan golongan itu di Terengganu amat minimum dengan rekod 0.34 peratus iaitu empat kes daripada 410 peluang pekerjaan disediakan.

"Jika berlaku pelanggaran (peraturan) oleh prospek ini, kita akan segera ambil mereka. Jika pelanggaran berlaku jam 2 pagi, jam 2 pagi kita ambil mereka," ujar beliau.

Katanya, langkah menyediakan peluang pekerjaan tersebut bagi memberi peluang kedua kepada mereka menjalani kehidupan lebih stabil pada masa depan.

"Sektor perkhidmatan merupakan antara sektor paling banyak menempatkan golongan ini antaranya termasuk di bengkel, cuci kereta, restoran, pembinaan dan perladangan.

"Selain itu, dalam tempoh terdekat ini kita akan libatkan PERKESO dan JTK untuk cuba masukkan mereka dalam sektor perhotelan memandangkan banyak peluang dalam sektor ini di Terengganu," ujarnya.

Seramai 62 majikan di bawah program Corporate Smart Internship (CSI) menyertai majlis itu dengan sasaran sebanyak 720 peluang pekerjaan disediakan kepada bekas banduan pada tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!