Operasi Bersepadu imigresen tahan 37 warga asing bekerja sebagai nelayan

PASIR PUTEH - Seramai 37 warga asing ditahan di lima lokasi jeti pelabuhan bot laut membabitkan pelbagai kesalahan dalam satu Operasi Bersepadu di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, ketika pemeriksaan di jeti Kampung Pak Mayong dan Gong Kulim, pihaknya memeriksa seramai seramai 262 warga asing kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.
Menurut Mohamed Yusoff, antara ditahan terdiri daripada 15 warga Myanmar termasuk dua wanita, 11 lelaki warga Vietnam, Thailand (7) dan masing-masing seorang dari Laos dan Kemboja.
"Kesemua ditahan berusia antara 21 hingga 52 tahun didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa," katanya melalui satu kenyataan.

Mohamed Yusoff berkata, pihaknya turut menahan warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai nelayan.
Jelasnya, warga asing terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata, ujian urin dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula mengesan lapan individu positif dadah membabitkan enam warga Vietnam dan dua warga Thailand.
"Semua warga asing ditahan dihantar ke pejabat imigresen Kota Bharu untuk siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, Mohamed Yusoff Khan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan AADK.
"Maritim Malaysia menyediakan lima bot untuk mengepung perairan sekitar jeti bagi mengelakkan warga asing melarikan diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!