Bas bawa 24 pekerja warga asing terbabas masuk gaung, 3 cedera

TANJUNG MALIM - Sebuah bas yang membawa 24 pekerja warga asing terbabas sebelum memasuki gaung di Kilometer 392 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada jam 4.27 petang.
Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dan BBP Slim River bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas penumpang membawa pekerja warga asing dan lori jenis Isuzu milik syarikat penyelenggaraan jalan.

"Kemalangan itu mengakibatkan bas tersebut terbabas ke dalam gaung. Maklumat dari ketua operasi terdapat tiga mangsa yang cedera iaitu pemandu bas, kelindan bas dan seorang pekerja penyelenggaraan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sabarodzi berkata, dua daripada mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa dibawa menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Tanjung Malim ke hospital Slim River.

Bagaimanapun katanya, 24 penumpang bas bersama seorang kelindan bas, seorang pemandu lori dan seorang kelindan lori terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, operasi yang disertai 17 anggota dengan empat jentera itu tamat pada jam 5.45 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!