Tengku Zafrul nafi jadi Duta Besar Malaysia ke AS

KUALA LUMPUR - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan beliau akan menjadi Duta Besar Malaysia yang seterusnya ke Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, terserah kepada pihak berkenaan untuk memilih individu yang akan menggalas jawatan berkenaan yang kosong selepas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menamatkan perkhidmatannya selama dua tahun di Washington.
"Jawapannya adalah tidak. Tetapi, saya serahkan kepada sesiapa sahaja yang dilantik.
"Sebagai Menteri MITI, kementerian sedia memberi sokongan kepada sesiapa pun yang akan menjawat jawatan Duta Besar Malaysia ke AS.
"Kita perlukan seseorang yang berada di lapangan," katanya pada sidang akhbar sempena Persidangan China Asia Tenggara 2025 di sini, pada Isnin.
Pada 8 Februari lepas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan kontraknya sebagai Duta Besar Malaysia ke AS tamat selepas dua tahun berkhidmat di Washington.
Bekas Menteri itu mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke AS pada 9 Februari 2023, dan menurut kenyataan Kementerian Luar pemilihan tersebut berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.
Susulan itu, lima nama dicadangkan untuk dipertimbangkan sebagai Duta Malaysia ke AS bagi menggantikan Mohamed Nazri termasuk Nurul Izzah Anwar dan Tengku Zafrul.
Calon lain ialah bekas pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.
Cadangan tersebut dibuat bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, yang dilapor berkata, Faiz banyak memberi input penting kepada perdana menteri mengenai dasar luar, manakala Nurul Izzah adalah pembantu utama dan Tengku Zafrul pula membuktikan dirinya sebagai menteri yang dipercayai Anwar.
Nazir dikenali sebagai tokoh korporat berpengaruh, manakala Yusmadi adalah ahli lama dalam 'kumpulan kecil individu dipercayai' Anwar.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, calon untuk Duta Besar Malaysia ke AS telah dikenal pasti, namun pelantikan itu perlu melalui proses mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau akan pergi menghadap Seri Paduka Baginda yang sedang berada di Bahrain untuk mendapat perkenan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!