Perlu lantik PTD terlatih sebagai duta - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyokong cadangan pakar supaya pelantikan Duta Malaysia ke negara luar khususnya Amerika Syarikat (AS) perlu dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD) yang terlatih.

Menurutnya, ia berikutan jawatan tersebut memerlukan pendedahan dan latihan menyeluruh memandangkan diplomasi merupakan satu kerja yang rumit serta sensitif.

“Selepas sejumlah masa di Kementerian Luar Negeri (KLN), sebelum dilantik duta dalam kalangan PTD, mereka telah melalui pelbagai pengalaman termasuk dihantar sebagai pegawai, konsul, timbalan duta dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir pada Sabtu berkata, pelantikan duta Malaysia ke negara luar khususnya AS perlu dalam kalangan PTD yang terlatih dalam bidang hubungan antarabangsa dan mampu menangani pelbagai situasi luar jangka.

Katanya, pemilihan individu dalam kumpulan itu penting bagi menggalas tugas besar khususnya dalam mendepani cabaran pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Menurut Saifuddin, sejak era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) tahun 2018, kerajaan telah menghentikan pelantikan PTD daripada KLN.

Katanya, bagi KLN, pelantikan duta bukan PTD hanya dibuat dalam kes istimewa atau khusus sahaja.

Ujarnya, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu orang politik yang berpengalaman luas seperti bekas menteri atau ahli Parlimen dan golongan profesional melibatkan bekas tentera, polis, pegawai tadbir serta teknokrat yang berpengalaman.

“Namun, kedua-dua golongan ini perlu melalui tapisan lebih ketat daripada PTD, seperti harus diluluskan oleh Kabinet sebelum namanya diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!