Lantik duta dalam kalangan PTD
SHAH ALAM - Pelantikan duta Malaysia ke negara luar khususnya Amerika Syarikat (AS) perlu dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD) yang terlatih dalam bidang hubungan antarabangsa dan mampu menangani pelbagai situasi luar jangka.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, pemilihan individu dalam kumpulan itu penting bagi menggalas tugas besar khususnya dalam mendepani cabaran pentadbiran Presiden, Donald Trump.
Menurutnya, pendirian Malaysia yang kerap bertentangan dengan dasar AS termasuk isu Palestin dan penyertaan dalam BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) juga menuntut kebijaksanaan diplomat menangani perkara tersebut.
“Sudah tiba masanya Malaysia hentikan norma melantik orang politik yang tidak ada kena mengena dengan diplomatik kerana mereka tidak menjalani latihan seperti mana diplomat sebenar.
"Seseorang diplomat ini dia tahu lenggok dan bahasa apa yang hendak digunakan apabila berdepan dengan sesuatu perkara, apatah lagi hendak berdepan dengan Trump yang jelas anti Islam, China dan imigran.
“Duta yang bakal dilantik ke AS juga perlu mempunyai hubungan rapat dengan kongres. Jadi, kalau Malaysia letak diplomat sebenar, maka orang akan nampak dia seorang yang profesional, biarpun siapa dia. Sebab itulah kita perlu henti lantik orang politik atau individu yang rapat dalam kerajaan.
“Semua pihak perlu sedar bahawa AS merupakan negara nombor satu dunia dan sering berdepan dengan kontroversi. Jadi, biarlah orang yang hendak dilantik itu adalah diplomat daripada Wisma Putra,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peranan besar yang perlu dipikul Duta Besar Malaysia ke AS yang baharu dalam mendepani cabaran zaman pentadbiran Trump dan calon bersesuaian untuk menggalas tugas berat tersebut.
Mengulas lanjut, Salawati berkata, setiap duta yang dilantik juga perlu bersikap neutral atau berkecuali dalam apa sahaja isu dalaman sesebuah negara.
“Duta tidak boleh menunjukkan rasa simpati kepada mana-mana parti (negara yang ditugaskan) kerana sebagai duta mereka perlu bersikap neutral,” katanya.
Terdahulu, bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tamat kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke AS pada Sabtu.
Berikutan itu, beberapa nama disebut oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming sebagai calon pengganti sesuai bagi jawatan Duta Besar Malaysia ke AS.
Tokoh pemimpin dicadangkan ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohamed Nazir Abdul Razak; bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah.
Kian Ming dalam kenyataannya juga mendakwa Mohamed Nazri gagal menjalankan tugas kerana tidak berjaya mengatur panggilan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri membidas Kian Ming sebagai dangkal sekiranya menjadikan ukuran aturan percakapan telefon di antara PMX bersama Trump sebagai satu kejayaan negara.
Malah mohamed Nazri turut beranggapan Kian Ming sebenarnya mahu ‘menjual diri’ supaya dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.
Dalam pada itu memetik sebuah portal, Kian Ming menafikan dakwaan beliau melobi untuk jawatan Duta Besar Malaysia ke AS.
Katanya, walaupun yakin boleh melakukan kerja lebih baik daripada Mohamed Nazri namun calon yang dicadangkan beliau lebih sesuai untuk peranan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

