'Daratan baharu' wujud di Pantai Batu Rakit

Keadaan terkini kawasan hakisan di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus yang menunjukkan pengumpulan pasir, secara tidak langsung membentuk kawasan daratan di pantai berkenaan. (Gambar kecil: Effi Helmy)
Keadaan terkini kawasan hakisan di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus yang menunjukkan pengumpulan pasir, secara tidak langsung membentuk kawasan daratan di pantai berkenaan. (Gambar kecil: Effi Helmy)
A
A
A

KUALA NERUS - Kewujudan kawasan lapang seolah 'daratan baharu' sekitar lokasi hakisan di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini menarik perhatian penduduk setempat.

Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin berkata, kewujudan kawasan berpasir itu merupakan fenomena alam yang berlaku saban tahun.

Menurutnya, ia berikutan fenomena hakisan yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap bentuk muka bumi di kawasan terlibat.

"Selepas fasa luruhan monsun 2024-2025 berakhir, kadar hakisan pantai akan menjadi semakin perlahan.

"Keadaan ini menyebabkan pasir mula kembali ke pantai sedikit demi sedikit dan secara semula jadi, lebih banyak pasir akan kembali ke pantai ketika musim tenang, iaitu semasa Monsun Barat Daya.

"Apabila angin bertiup perlahan, lambakan pasir ini akan membentuk semula gumuk pantai (beach dune) dan ini lah yang berlaku di beberapa kawasan di pantai Batu Rakit ketika ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Jelas beliau, fenomena hakisan yang berlaku secara semula jadi itu perlu ditangani dengan kaedah sesuai bagi mengurangkan kerugian memandangkan ia turut melibatkan hartanah dan kediaman penduduk.

"Seperti saya maklumkan sebelum ini, apabila hakisan berlaku, akan ada pantai yang perlu 'dikorbankan' kerana akan wujud satu kawasan yang akan menjadi tanjung dan satu lagi kawasan akan menjadi teluk.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kawasan yang menjadi teluk ini akan menerima impak hakisan yang lebih tinggi, ia akan berhenti juga pada keadaan yang optimum untuk memperlahankan tenaga ombak di kawasan teluk tersebut," katanya.

Effi Helmy berkata, kawasan pantai yang berteluk sedikit demi sedikit akan kembali kepada keadaan asal selepas berakhirnya MTL.

Bagaimanapun, katanya, terdapat 'syarat' yang perlu dipatuhi bagi memastikan keadaan itu berubah secara semula jadi, antaranya tidak meletakkan sebarang binaan seperti batu beting di kawasan teluk tersebut.

"Langkah itu hanya akan menyebabkan tenaga ombak di kawasan tersebut berpindah di kawasan bersebelahan dan akan mengakibatkan kawasan hakisan yang baharu.

"Ia tidak akan berhenti di situ dan kerana itu saya tekankan terhadap keperluan untuk kerajaan negeri memilih kawasan mana yang boleh 'dikorbankan'," katanya.

Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial menunjukkan bahawa munculnya sebuah 'dataran baharu' berdekatan kawasan hakisan di pantai tersebut.

Hasil tinjauan mendapati kawasan itu menjadi tumpuan ramai malah turut dijadikan sebagai lokasi riadah baharu terutama pada waktu petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!