Segera gubal Akta Pendanaan Politik untuk tingkatkan CPI - MCW

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu segera menggubal Akta Pendanaan Politik bagi meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah Global (CPI) kerana salah satu faktor yang dinilai dalam adalah ketelusan pembiayaan politik dan keupayaan sesebuah negara mengawal pengaruh kewangan terhadap proses demokrasi.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ketelusan dalam pembiayaan politik memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi antarabangsa terhadap integriti sistem politik Malaysia.

Menurutnya, ia sebagai mana diamalkan oleh negara-negara yang berada pada kedudukan paling bersih daripada rasuah.

"Negara-negara dengan kawalan ketat terhadap pembiayaan politik, seperti Jerman dan Kanada, sering mendapat skor tinggi dalam CPI.

"Sebaliknya, negara yang gagal mengawal pembiayaan politik sering dikaitkan dengan politik kleptokrasi dan budaya kronisme.

"Oleh itu, ketelusan yang lebih tinggi bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur asing tetapi juga mengukuhkan reputasi Malaysia di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 tidak berganjak di tangga ke-57 untuk tahun kedua berturut-turut.

Menurut Transparency International Malaysia (TI-M), skor CPI Malaysia juga kekal pada 50 mata sejak 2023.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Jais berkata, penggubalan Akta Pendanaan Politik menunjukkan komitmen Malaysia terhadap integriti politik dan mengurangkan kebimbangan berkaitan politik wang, dana gelap serta penderma berkepentingan yang boleh mempengaruhi dasar negara.

Justeru katanya, semua parti politik dan calon wajib mengisytiharkan sumber dana mereka, termasuk sumbangan daripada individu, syarikat atau badan asing.

"Kerajaan juga perlu mengehadkan jumlah maksimum sumbangan yang boleh diterima dan jumlah perbelanjaan semasa kempen pilihan raya,"katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu mengharamkan parti politik daripada menerima sumbangan asing bagi mengelak campur tangan dalam pentadbiran negara.

Katanya, parti dan calon mesti melaporkan secara berkala kaedah mereka menggunakan dana bagi mengelakkan penyalahgunaan dan transaksi mencurigakan.

"Bagi memastikan akta ini benar-benar berkesan, beberapa mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkenalkan seperti penubuhan badan berkecuali dan bebas daripada kawalan kerajaan mahu pun parti bagi pemantauan pembiayaan politik secara telus.

"Semua parti politik mesti menyerahkan laporan kewangan berkala yang diaudit oleh firma bebas dan dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),"tegasnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas termasuk denda yang tinggi dan pembatalan kelayakan bertanding terhadap individu yang didapati melanggar peraturan tersebut.

"Semua laporan kewangan parti politik harus diterbitkan dalam satu platform yang boleh diakses oleh rakyat bagi membolehkan semakan dan analisis oleh masyarakat sivil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!