Kerajaan digesa baik pulih produk pelancongan Perak Tengah

Pusat Kraf Tembikar Tanjung Bidara yang terbiar sejak lima tahun perlu dibaik pulih supaya dapat dimanfaatkan kembali oleh masyarakat setempat.
Pusat Kraf Tembikar Tanjung Bidara yang terbiar sejak lima tahun perlu dibaik pulih supaya dapat dimanfaatkan kembali oleh masyarakat setempat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap usaha menaik taraf beberapa kawasan tumpuan pelancongan di daerah Perak Tengah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, antara destinasi tumpuan pelancong di daerah ini yang perlu dibaik pulih serta dinaik taraf termasuklah Kompleks Sejarah Pasir Salak, Pusat Kraf Tembikar Tanjung Bidara, Perak Agro Tourism Resort (Patro), Pulau Cempaka Sari dan beberapa tarikan lain.

Jelas beliau, usaha tersebut dilihat penting bagi memastikan daerah Perak Tengah tidak terpinggir menjadi destinasi tumpuan pelancong khususnya bagi sektor pelancongan pendidikan dan warisan yang menjadi kekuatan utama daerah berkenaan.

"Persatuan berharap supaya kerajaan memastikan Perak Tengah akan menjadi salah satu destinasi pelancongan yang akan memberi manfaat serta nilai ekonomi.

"Semua pihak khususnya kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan gerak kerja strategik yang berkesan untuk memastikan supaya Perak Tengah tidak ketinggalan dalam pembangunan pelancongan serta menarik ramai pelancong terutama ketika Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Nordin berkata, suatu masa dahulu Kompleks Sejarah Pasir Salak menerima kunjungan begitu besar sehingga mampu menjana pendapatan masyarakat setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pusat Kraf Tembikar Tanjung Bidara perlu diberi perhatian supaya kembali menjadi tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pusat Kraf Tembikar Tanjung Bidara perlu diberi perhatian supaya kembali menjadi tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Justeru katanya, kerajaan diminta melaksanakan segera kerja-kerja naik taraf dan baik pulih infrastruktur kemudahan sedia ada supaya semua pihak yang terlibat dengan pelancongan di daerah ini boleh bersedia.

Artikel Berkaitan:

"Jika pelancongan sejarah dan warisan ini diberikan tumpuan, sepatutnya semua pihak yang terlibat di Perak Tengah ini boleh memfokuskan kumpulan sasar tertentu dan merancang aktiviti pelancongan yang bersesuaian dengan kumpulan sasar tersebut.

"Kekuatan ini memang ada di Perak Tengah dan sangat diperlukan sebagai sumber pembelajaran yang boleh dijadikan sebagai pelancongan pendidikan," katanya.

Menurutnya, pengusaha pelancongan yang terlibat boleh menyasarkan kumpulan pendidikan di peringkat pengajian tinggi mahu pun sekolah-sekolah sama ada dalam negara atau luar negara.

Selain itu, Nordin juga menggesa kerajaan memikirkan sesuatu terhadap Pusat Kraf Tembikar Tanjung Bidara yang terbiar sejak lima tahun lalu tanpa sebarang aktiviti.

Katanya, ia merupakan satu kerugian apabila kemudahan yang disediakan itu tidak lagi digunakan kerana ia mampu menjana pendapatan kepada masyarakat setempat jika dibaik pulih.

Tambahnya, pihak persatuan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memastikan sektor pelancongan dan ekonomi di daerah ini terus dibangunkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!