Kumpul duit beli keperluan sekolah saat akhir

IPOH - Pembelian saat akhir keperluan persekolahan oleh ibu bapa terpaksa dilakukan bagi memastikan kelengkapan anak-anak dipenuhi menjelang pembukaan sesi pada Isnin.
Tidak kurang juga ibu bapa yang terpaksa membuat pembelian di saat akhir atas faktor kewangan.
Bagi seorang suri rumah, Maizatulhiza Meor Mohd Nadziri, 52, keperluan persekolahan anaknya yang berusia 11 Tahun terpaksa dibeli beberapa hari sebelum pembukaan sekolah kerana perlu mengumpul wang.
"Saya terpaksa beli di saat akhir sebab kena kumpul duit dulu dan utamakan anak yang belajar di universiti sebab perlu guna banyak belanja untuk sewa kediaman, yuran dan sebagainya.
"Jadi dah selesai semuanya barulah beli barang-barang sekolah untuk anak yang lain tambahan pula kos sara hidup makin meningkat, jadi kena berjimat dan beli barang penting sahaja," katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Kembali Ke Sekolah di Dewan Komuniti Taman Berjaya, Tanjung Rambutan di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abdul Rahman.
Maizatulhiza berkata, sumbangan daripada pelbagai pihak juga sangat membantunya meringankan beban keluarga memandangkan suami merupakan pesara dan tidak mempunyai pendapatan lain.
Seorang lagi suri rumah, Intan Marliana Omar, 33, berkata, pada tahun ini tiga orang anaknya bersekolah dan perbelanjaan bagi menyediakan keperluan persekolahan dibuat secara berperingkat.
Menurutnya, tidak semua keperluan dibeli baharu kerana pakaian yang lama masih boleh digunakan dan hanya beberapa barangan lain sahaja terpaksa dibeli.
"Beg dan alat tulis memang masih ada dan selagi boleh guna, anak-anak akan pakai, cuma apabila dapat sumbangan beg atau keperluan lain, dapatlah anak-anak guna yang baru.
"Saya pun hanya suami bekerja cuma sebelah malam buat jualan ayam gunting di depan rumah untuk tambah pendapatan supaya dapat beli barang-barang keperluan termasuklah barang-barang sekolah," katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata, sumbangan yang diberikan itu melibatkan pemberian beg sekolah dan alat tulis.
Katanya, seramai 160 orang penerima dalam kalangan kanak-kanak B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta diberikan sumbangan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan di sekitar Bandar Meru Raya mendapati masih ramai ibu bapa yang membeli keperluan persekolahan.
Seorang pengunjung sebuah pasar raya, Nik Nurfatima Nik Mohammad, 35, berkata, beberapa keperluan lain sudah pun dibeli awal kecuali kasut sekolah.
Katanya, memandangkan barang-barang sekolah agak mahal, terpaksa buat perbandingan harga untuk cari yang lebih berpatutan.
Dia yang tinggal di Kuala Lumpur berkata, barang-barang keperluan sekolah anaknya dibeli di Ipoh memandangkan kebetulan pulang ke kampung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

