Ibu bapa lega terima sumbangan kelengkapan sekolah anak

JERANTUT - [DIKEMAS KINI] "Sumbangan ini sangat membantu saya dan suami untuk keperluan persekolahan anak tahun ini," kata suri rumah, Siti Aishah Kassim, 40, apabila anaknya antara 1,209 murid Tahun Satu Felda Wilayah Jengka menerima sumbangan sempena program Selamat Datang Ke Sekolah 2025.
Menurutnya, sumbangan berupa pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah bernilai RM120 itu amat bermakna buat keluarganya.

Jelasnya, setakat ini dia dan suami telah membelanjakan kira-kira RM200 untuk anaknya, Mohd Hannan Safrollah, 7, tidak termasuk yuran bagi sesi persekolahan tahun ini.
"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban ibu bapa di Wilayah Jengka," katanya.
Siti Aishah ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan daripada Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah membabitkan 59 murid di Felda Kota Gelanggi 1 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Norhazira Abdullah, 37, turut lega dengan sumbangan diterima ini.
"Setakat ini saya sudah menghabiskan kira-kira RM300 untuk persediaan persekolahan Tahun Satu anak, Nur Aaira Balqis Mohd Safrizal," kongsinya.

Sementara itu, Haris Salleh berkata, seramai 1,209 murid Tahun Satu membabitkan 37 sekolah di Felda Wilayah Jengka menerima sumbangan tersebut tahun ini.
Ujarnya, sumbangan tersebut membuktikan keprihatinan selain antara usaha serta tanggungjawab sosial agensi terbabit mengutamakan pembangunan pendidikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!