Masih ramai ibu bapa takut lakukan saringan kanser untuk anak

KUALA LUMPUR - Masih ramai ibu bapa ragu-ragu untuk melakukan saringan awal bagi mengesan kanser dalam kalangan anak mereka termasuk menjalani ujian khusus seperti pengambilan sumsum tulang atau air tulang belakang.
Pakar Kanak-Kanak Hematologi dan Onkologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Madya Dr Norsarwany Mohamad berkata, takut dengan kesan sampingan dan kos rawatan antara faktor ibu bapa enggan menjalankan ujian tersebut, walaupun ia selamat dan penting untuk diagnosis awal.
“Ramai ibu bapa bimbang ujian itu akan mendatangkan kesan negatif kepada anak mereka. Ada juga yang takut dengan kos rawatan, sedangkan hospital mempunyai mekanisme bantuan untuk pesakit kurang berkemampuan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan statistik setiap tahun dianggarkan 800 hingga 1,000 kanak-kanak di Malaysia didiagnosis menghidap kanser.
Jumlah itu merangkumi kira-kira tiga hingga empat peratus daripada jumlah keseluruhan kes kanser di negara ini.
Dr Norsarwany berkata, stigma terhadap kanser turut menjadi cabaran besar dalam meyakinkan ibu bapa kerana ramai menganggap penyakit itu bermaksud ‘hukuman mati’ atau rawatan seperti kemoterapi sangat menyakitkan dan mempunyai kesan sampingan teruk.
“Hakikatnya, rawatan kanser semakin maju dengan kadar kesembuhan lebih tinggi dan ubat-ubatan yang dapat mengurangkan kesan sampingan,” jelasnya.
Tambah beliau, kelewatan mengenal pasti simptom boleh menyebabkan penyakit itu merebak ke seluruh tubuh, menyukarkan rawatan dan mengurangkan kadar kesembuhan secara drastik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

