Pengamal ruqyah jalan kerap kemalangan, berhantu

Eko ketika meruqyah jalan berkenaan.- Agensi
Eko ketika meruqyah jalan berkenaan.- Agensi
A
A
A

LAMPUNG - [DIKEMAS KINI] Sepasukan pengamal ruqyah syar'iyah Tanjung Sari, Lampung Selatan, pada Selasa lalu menjalankan aktiviti ruqyah di jalan raya yang dipercayai berhantu dan sering berlaku kemalangan.

Media tempatan melaporkan, kegiatan itu dilakukan di sepanjang Jalan Nasional Ir Sutami, di kecamatan Tanjung Bintang dan Tanjung Sari.

Salah seorang pengamal ruqyah, Eko Warsiyanto berkata, pihaknya sering melakukan ruqyah di lokasi yang dianggap orang ramai mempunyai aura mistik dan di laluan jalan yang sering berlaku kemalangan.

"Jalan yang diruqyah ini juga telah berlaku dua kemalangan yang mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia.

"Operasi ini bertujuan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Kami cuba mengambil bahagian dengan cara kami yang tersendiri supaya kejadian serupa dapat diminimumkan," katanya kepada wartawan pada Rabu.

Bukan itu sahaja, Eko menekankan kepentingan mendidik orang ramai supaya sentiasa membaca doa sebelum bermusafir demi keselamatan semasa dalam perjalanan.

“Kita juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tertib semasa memandu di jalan raya, demi keselamatan bersama,” jelasnya.

Dalam pada itu tambah Eko, tabiat orang ramai membunyikan hon atau memberi isyarat apabila melalui tempat yang dianggap berhantu sebenarnya tiada asas dalam ajaran Islam.

Tegasnya, dalam Islam dianjurkan membaca doa atau bismillah apabila melalui tempat yang dianggap mempunyai aura negatif. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!