'Cadangan wujudkan menteri hal ehwal bukan Islam, mengarut' - Pemuda Amanah

JOHOR BAHRU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan cadangan seorang ahli Parlimen kerajaan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kenyataan jelik tersebut sepatutnya ditolak kerana Malaysia adalah sebuah negara dengan Islam sebagai agama Persekutuan
"Tak sedarkah anda kita sudah pun ada Menteri Perpaduan?
"Pemimpin beginilah yang menjauhkan orang Melayu Muslim kita daripada Pakatan Harapan (PH) termasuklah Amanah
"Pimpinan PH terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tegas dan 'put a stop' daripada pemimpin-pemimpin begini untuk terus keluarkan kenyataan yang jelik sebegini.
"Malaysia adalah sebuah negara dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kita yakin itu lah paksi yang akan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan harmoni," katanya dalam muat naik di Facebooknya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pimpinan PH agar menolak cadangan berkenaan yang disifatkan mengarut.
"Saya minta pimpinan PH untuk tegas menolak cadangan-cadangan yang amat mengarut sebegini!," ujarnya lagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Rabu mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!