Cadangan wujud menteri hal ehwal bukan Islam cetus keresahan

Ahmad Munzirie. Laporan Sinar Harian berhubung cadangan Ahli Parlimen Raub supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Ahmad Munzirie. Laporan Sinar Harian berhubung cadangan Ahli Parlimen Raub supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
A
A
A

IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mempersoalkan cadangan seorang ahli Parlimen kerajaan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, tiada keperluan untuk mempertimbangkan cadangan itu kerana sudah ada Kementerian Perpaduan yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal perpaduan termasuk isu-isu berkaitan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, cadangan untuk memecahkan portfolio hal ehwal agama itu seolah-olah tidak mengambil kira struktur pentadbiran sedia ada yang telah terbukti berkesan dalam mengurus kepelbagaian agama di Malaysia.

"Pemuda Amanah Perak memandang serius cadangan untuk memisahkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada dua bahagian berasingan.

"Walaupun cadangan ini mungkin dibuat dengan niat baik, namun ia boleh menimbulkan keresahan dan mudah dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Munzirie berkata, ahli politik yang matang perlu lebih bijak memilih isu yang hendak dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Katanya, sebarang cadangan yang boleh disalahertikan dan dimanipulasi untuk kepentingan politik sempit sesetengah pihak perlu dielakkan.

Jelasnya, ahli politik sepatutnya fokus kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti ekonomi dan kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Dalam suasana politik semasa yang masih sensitif dengan isu-isu perkauman dan agama, sebarang cadangan yang melibatkan struktur pentadbiran hal ehwal agama perlu dibuat dengan lebih berhati-hati.

"Kita tidak mahu perkara yang sepatutnya dibincang secara harmoni menjadi modal untuk pihak tertentu mencetuskan ketegangan dalam masyarakat," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Rabu mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!