PBT jangan jadi seperti harimau tanpa taring

PBT perlu ambil tindakan tegas sekiranya peniaga bazar Ramadan memindahkan lesen mereka kepada pihak ketiga. Foto hiasan
PBT perlu ambil tindakan tegas sekiranya peniaga bazar Ramadan memindahkan lesen mereka kepada pihak ketiga. Foto hiasan
A
A
A

SETIAP tahun masalah sama berulang, seolah-olah tidak diendahkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Yang menjadi persoalan, sampai bila akan berakhir?

Isu yang dimaksudkan adalah lesen bazar Ramadan yang ‘dialibabakan’ kepada pihak ketiga dengan harga tidak masuk akal. Matlamatnya untuk memperoleh untung besar dengan mudah, tak perlu bersusah payah berniaga selama sebulan.

Budaya ali baba ini memberikan kesan domino lebih luas. Tidak hairanlah jika kita melihat ramai peniaga terpaksa menjual barangan dengan harga mahal semata-mata kerana mahu menampung kos tapak niaga yang berlipat kali ganda.

Apabila tiada tindakan tegas, natijahnya adalah harga tidak terkawal dan akhirnya orang ramai terpaksa menanggung kenaikan harga tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun ini masalah tersebut dapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bersuara memberikan amaran kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga yang ‘mengalibabakan’ tapak perniagaan.

Bukan hanya tindakan, malah DBKL juga diminta membatalkan terus lesen perniagaan peniaga terlibat.

Menurut Perdana Menteri, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tata kelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.

Masalah sebegini bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur, tetapi dipercayai turut berlaku di negeri-negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Pun begitu, beberapa negeri juga akan mengambil tindakan tegas terhadap isu ali baba ini, bukan sahaja membatalkan lesen, malah menyenaraihitam peniaga untuk tahun depan.

Tindakan tegas PBT dapat membantu membasmi masalah yang sekian lama berakar dalam industri perniagaan di negara ini.

Cukup-cukuplah memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu mengaut untung besar atas angin setiap kali Ramadan.

Walau apa pun, kita amat berharapkan amaran yang diberikan Perdana Menteri itu dipandang serius oleh PBT-PBT di negara ini.

PBT perlu membuktikan bahawa mereka bukan sekadar ‘harimau tanpa taring’ yang hanya kuat mengaum memberi amaran tapi sebenarnya tidak berani untuk mengambil tindakan kepada peniaga-peniaga terlibat, terutama peniaga asing!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!