Jaminan masa depan autisme dewasa

Autisme boleh dianggap 'ujian' kepada ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti tentang bagaimana menguruskan mereka. Foto hiasan
Autisme boleh dianggap 'ujian' kepada ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti tentang bagaimana menguruskan mereka. Foto hiasan
A
A
A

CADANGAN Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) membangunkan perkampungan untuk individu autistik dewasa yang tiada tempat bergantung di Pahang baru-baru ini perlu dilihat dari sudut positif.

Ini kerana, kesedaran mengenai kes itu semakin meningkat dengan pelbagai pihak tampil dengan inisiatif untuk memastikan individu terbabit mendapat perhatian sewajarnya.

Cadangan pembangunan perkampungan itu bertujuan memastikan individu autistik berusia 30 hingga 50 tahun, khususnya mereka yang sudah tidak lagi mempunyai penjaga mendapat tempat tinggal bersesuaian dan penjagaan berterusan.

Perlu diakui, autisme ini boleh dianggap 'ujian' kepada ibu bapa, ahli keluarga serta komuniti tentang bagaimana menguruskan mereka, menyediakan suasana, persekitaran serta kemudahan yang sesuai dan ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Laporan media sebelum ini mengenai peningkatan sebanyak lapan kali ganda jumlah orang kurang upaya (OKU) autisme yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berbanding 2015 adalah petanda positif tahap kesedaran ibu bapa.

Itu bagi individu yang masih lagi di bawah jagaan ibu bapa, yang sudah tentunya akan menitikberatkan kebajikan anak-anak autistik mereka.

Justeru, apa yang dicadangkan NASOM ini adalah usaha murni untuk membela nasib individu autistik yang memerlukan perhatian, sokongan dan tempat perlindungan secara total.

Sudah pasti kos menyediakan pendidikan dan terapi untuk individu autistik adalah tinggi kerana memerlukan perhatian lebih khusus, dengan kepakaran tertentu bagi memastikan keperluan setiap individu dapat dipenuhi dengan lengkap.

Memasuki fasa dewasa, dengan adanya perkampungan, penempatan atau pusat perlindungan untuk individu autistik yang dewasa menjadikan mereka mempunyai harapan untuk menuju masa depan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Cetusan idea NASOM ini satu permulaan sangat baik yang dapat menjamin kebajikan dan masa depan individu autisme dewasa agar terus terbela.

Ia juga kesedaran betapa sesiapa juga di dunia ini berhak untuk hidup dalam lingkaran kasih sayang sebenar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!