Sedia hadapi ketidaktentuan geopolitik

PILIHAN Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) menyaksikan Parti Demokrat merampas penguasaan Dewan Perwakilan dan Senat daripada Republikan bukan sekadar kekalahan politik buat Presiden Donald Trump, sebaliknya membawa implikasi lebih luas terhadap landskap geopolitik dunia.
Ia memperlihatkan perubahan besar dalam imbangan kuasa di Washington, sekali gus mewujudkan situasi kerajaan terbahagi apabila Trump perlu berhadapan Kongres yang dikuasai parti lawan untuk baki dua tahun pentadbirannya.
Perkembangan itu penting ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik, khususnya konflik Iran, persaingan strategik AS-China serta ketidaktentuan perdagangan antarabangsa susulan dasar tarif Washington.
Kemenangan Demokrat berpotensi meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Trump melalui penelitian dan pengawasan Kongres, termasuk berkaitan penglibatan AS dalam konflik Iran.
Bagaimanapun, perubahan penguasaan Kongres tidak semestinya membawa perubahan segera terhadap dasar luar kerana Presiden masih mempunyai kuasa eksekutif besar.
Dalam hubungan AS-China, perkembangan ini turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju persaingan kedua-dua kuasa besar, terutama dalam sektor teknologi, semikonduktor dan perdagangan.
Persaingan mengehadkan akses China kepada teknologi strategik dijangka terus mendapat perhatian bipartisan di Kongres.
Bagi Malaysia, perubahan politik itu perlu dilihat dari perspektif kepentingan ekonomi dan keselamatan negara.
Sebagai negara yang mempunyai hubungan perdagangan dengan kedua-dua kuasa besar, ketidaktentuan dasar tarif AS boleh beri kesan kepada eksport, pelaburan dan rantaian bekalan industri tempatan.
Justeru, Malaysia perlu memperkukuh kepelbagaian pasaran eksport, mengurangkan kebergantungan terhadap satu destinasi perdagangan serta meningkatkan daya saing industri semikonduktor dan teknologi tempatan.
Pada masa sama, ASEAN perlu terus diperkukuh sebagai platform diplomasi serantau bagi memastikan persaingan kuasa besar tidak menjejaskan kestabilan Asia Tenggara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
