Peniaga dakwa broker licik main harga

DBKL menyediakan sejumlah 3,000 tapak niaga di semua bazar Ramadan seliaan pihak berkuasa tempatan itu, termasuk Bazar Ramadan Lorong TAR di Kuala Lumpur.
DBKL menyediakan sejumlah 3,000 tapak niaga di semua bazar Ramadan seliaan pihak berkuasa tempatan itu, termasuk Bazar Ramadan Lorong TAR di Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengusaha mendakwa tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan dan Aidilfitri tidak akan menjejaskan peniaga atau ‘broker’ kerana masih terdapat pintu belakang untuk menjual tapak sewaan dengan harga tidak masuk akal.

Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd, 30-an mendakwa ada broker pernah menawarkan harga sehingga RM45,000 untuk membeli tapak yang disewa, dipercayai untuk dijual semula pada harga lebih tinggi atau individu berkenaan sendiri yang mahu berniaga di situ kerana lokasinya strategik.

“Pada mulanya ada seorang broker mahu beli tapak dengan menawarkan RM35,000. Beberapa hari kemudian, muncul seorang peniaga menawarkan harga lagi tinggi iaitu RM45,000 untuk membeli tapak sewaan saya.

“Untuk makluman, harga tapak bazar Aidilfitri berdasarkan betapa strategiknya tempat itu, makin strategik maka makin mahal tapak itu.

“Berkenaan dengan inisiatif Perdana Menteri, itu tak menghalang langsung para broker ini sebenarnya, ini kerana mereka akan buat kerja ikut pintu belakang,” dedahnya kepada Sinar Harian.

Mohd berkata, amaran tersebut sepatutnya difokuskan kepada peniaga yang sebenarnya menjadi punca utama kenaikan tapak sewaan.

“Broker sebenarnya tidak ada masalah, mereka hasut sahaja. Peniaga yang telah dapat lesen yang akan letakkan sendiri berapa harga dia nak jual tapak sewaan itu.

“Contohnya tapak disewa daripada pihak berkuasa tempatan murah sahaja tak mahal. Yang mahal apabila broker atau peniaga sendiri letak harga melambung tinggi,” ujarnya.

Mohd mendakwa, broker sering mengambil peluang dengan menganggap ‘membida’ harga tapak sewaan seperti satu permainan.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pengalaman lain, Mohd juga pernah menjadi salah seorang mangsa permainan broker.

“Masa itu, saya memerlukan tapak dan ada peniaga nak jual tapak berharga RM9,000 kepada saya.

“Sehinggalah ada broker yang membeli tapak itu dan saya terpaksa membayar pula kepada broker sama dengan harga yang lebih mahal iaitu sebanyak RM16,000,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!