Petronas memang ‘beda level’

Mengukur kekuatan Petronas berdasarkan kehadirannya dalam pasaran runcit bahan api Indonesia adalah hujah tersasar. Foto Bernama
Mengukur kekuatan Petronas berdasarkan kehadirannya dalam pasaran runcit bahan api Indonesia adalah hujah tersasar. Foto Bernama
A
A
A

SINDIRAN pelakon Indonesia, Boy Hamzah baru-baru ini terhadap Petronas kononnya tidak mendapat sambutan di negaranya mungkin mengundang gelak ketawa dalam kalangan sesetengah pihak, namun kenyataan itu sebenarnya memperlihatkan betapa ceteknya penilaian terhadap keupayaan sebuah syarikat yang beroperasi di pentas global.

Mengukur kekuatan Petronas berdasarkan kehadirannya dalam pasaran runcit bahan api Indonesia adalah hujah tersasar. Syarikat minyak dan gas negara itu meninggalkan pasaran berkenaan pada 2012 tetapi keputusan perniagaan itu tidak boleh disamakan dengan kegagalan.

Dalam dunia korporat, keluar dari sesuatu pasaran bukan pengakuan kalah. Strategi perniagaan berubah mengikut peluang, persaingan dan hala tuju syarikat. Lebih penting, pencapaian sesebuah syarikat perlu dinilai berdasarkan keseluruhan operasinya, bukannya satu pasaran yang sudah ditinggalkan.

Jika mahu melihat kedudukan Petronas, pentas Formula Satu (F1) memberikan gambaran lebih jelas. Hubungan dengan Mercedes-AMG Petronas sejak 2010 bukan hubungan penajaan biasa, sebaliknya kerjasama teknikal yang meletakkan kepakaran syarikat Malaysia itu dalam salah satu sukan permotoran paling maju di dunia.

Ketua pasukan, Toto Wolff sendiri mengakui Mercedes tidak dapat dibayangkan tanpa Petronas. Pengiktirafan itu membawa makna besar kerana ia datang daripada pihak yang memahami sendiri sumbangan rakan teknikalnya terhadap pembangunan jentera perlumbaan.

Penglibatan Petronas merangkumi pembangunan bahan api mampan termaju (ASF), minyak enjin Syntium dan bendalir Tutela bagi memenuhi keperluan unit kuasa F1. Malah, pengetahuan daripada pembangunan ASF turut dimanfaatkan dalam produk bahan api komersial seperti Primax di Malaysia dan Brazil.

Inilah perbezaan melihat sebuah jenama melalui sindiran dengan menilai keupayaan berdasarkan teknologi, kepakaran dan jaringan perniagaan antarabangsa. Petronas tidak perlu membalas setiap cemuhan untuk membuktikan kedudukannya. Rekod dan keupayaan syarikat itu sudah cukup menjadi jawapan.

Jika mahu menggunakan istilah yang difahami netizen, memang ada perbezaan ‘beda level’ apabila satu pihak sibuk memperlekehkan, sedangkan satu lagi terus membina nama di pentas dunia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!