Batal lesen peniaga bazar Ramadan langkah serius ke arah keadilan, ketelusan ekonomi

Pembatalan lesen peniaga yang bertindak memindahkan atau menjual lesen diperoleh adalah satu tindakan mencerminkan keadilan dan ketelusan. Foto hiasan
Pembatalan lesen peniaga yang bertindak memindahkan atau menjual lesen diperoleh adalah satu tindakan mencerminkan keadilan dan ketelusan. Foto hiasan
A
A
A

ARAHAN tegas membatalkan serta-merta lesen peniaga yang didapati memindahkan atau menjual lesen diperoleh untuk berniaga di bazar Ramadan menandakan satu pendekatan serius dalam memastikan unsur keadilan dan ketelusan.

Dalam banyak keadaan, tindakan individu atau pihak bertindak sedemikian boleh mengakibatkan ketidakseimbangan dalam agihan peluang perniagaan.

Langkah pembatalan lesen tersebut, dilihat sebagai usaha untuk mengekang penyelewengan dalam sistem pemberian lesen perniagaan yang membawa pelbagai implikasi dari sudut keadilan sosial, ekonomi dan pengurusan sektor perniagaan mikro di Malaysia.

Umum mengetahui, bazar Ramadan sering kali menjadi lokasi peniaga kecil mendapatkan pendapatan tambahan terutama mereka yang berniaga dalam tempoh tertentu sahaja.

Pembatalan lesen tersebut dapat memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan tempat lebih adil tanpa bersaing dengan pihak yang hanya bertindak sebagai perantara dan tidak mendatangkan manfaat kepada ekonomi tempatan.

Tidak hanya itu, keberkesanan pengurusan bazar juga akan meningkat kerana peniaga komited untuk lebih fokus dalam menyediakan produk atau perkhidmatan terbaik untuk seluruh komuniti khususnya pelanggan bazar Ramadan.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga.

Tegas Anwar, penglibatan ejen selaku orang tengah yang ‘memakan’ komisen besar sudah berlarutan saban tahun.

Bahkan Anwar berkata, situasi itu bukan banyak berlaku di DBKL sahaja malah hampir di semua kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

Artikel Berkaitan:

Justeru, menurut beliau ia harus dihentikan dengan langkah penguatkuasaan yang tegas perlu diambil oleh pihak berkenaan.

Walaupun terdapat cabaran dalam penguatkuasaannya, ini adalah satu usaha jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan dan keadilan dalam kalangan masyarakat peniaga khususnya peniaga kecil di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!