Lesen bazar Ramadan: MBI larang aktiviti sewa atas sewa

Rumaizi
Rumaizi
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengenakan larangan aktiviti sewa atas sewa antara peniaga atau penganjur sebagai syarat penganjuran bazar Ramadan di 23 lokasi sekitar Ipoh tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, tindakan pembatalan lesen dan penutupan serta-merta operasi perniagaan tanpa sebarang notis serta pampasan akan dilakukan sekiranya gagal dipatuhi.

"Syarat itu ditetapkan dalam penganjuran bazar Ramadan dan keputusan MBI tersebut adalah muktamad.

"Sebanyak 15 permohonan penganjuran bazar Ramadan telah diterima setelah MBI membuka tawaran tersebut menerusi laman web rasmi pada 2 Disember hingga 13 Disember 2024.

"Pemilihan penganjur adalah berdasarkan kepada Kriteria Penilaian dan Pemilihan yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Tujuan Am Bil 370/02/2022 dan prosesnya pengundian dipantau Unit Integriti dan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sinar Harian sebelum ini mendedahkan ada pihak mengaut untung atas angin apabila sewa tapak bazar Ramadan RM500 dijual semula kepada pihak ketiga sehingga RM30,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga dan situasi itu berlaku hampir di semua kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

Mengulas lanjut Rumaizi berkata, jumlah keseluruhan petak bazar Ramadan tahun ini adalah sebanyak 1,530 iaitu penambahan sebanyak 220 petak atau 14.4 peratus berbanding dengan tahun 2024.

Tambah beliau, kadar yang dikenakan oleh penganjur kepada peniaga tidak melebihi RM750 setiap petak meliputi bayaran sewa khemah, caj pembersihan tapak dan lesen bayaran yang dikenakan oleh MBI.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga hari ini tiada rungutan dari peniaga berkaitan dengan kadar bayaran, rata-rata penganjur mengenakan kadar bayaran antara RM650 hingga RM700, di bawah siling yang telah ditetapkan oleh MBI.

"Tahun ini, sebahagian besar penganjur menyediakan tong sampah, karung plastik dan pengikat kabel kepada setiap peniaga seperti yang disarankan oleh MBI," jelasnya.

Menurut Rumaizi, pihaknya meneruskan konsep 'Bazar Ramadan Mesra Alam' bagi menyokong kempen Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar.

"Pengunjung digalakkan membawa bekas makanan sendiri sementara peniaga pula digalakkan menggunakan bekas makanan biodegradasi dan menyertai program kitar semula minyak masak terpakai bagi tujuan biofuel.

"Kaedah pembayaran tanpa tunai juga dilaksanakan sepenuhnya oleh semua peniaga selain menggalakkan menyertai Kempen 'Mysave Food' bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai langkah menyelamatkan lebihan makanan dan minuman untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!