'Zayn Rayyan pernah hilang di Taman Metropolitan, lari berdesup'

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama (Gambar kecil: Zayn Rayyan)
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama (Gambar kecil: Zayn Rayyan)
A
A
A

PETALING JAYA – Pembantu guru kelas Zayn Rayyan Abdul Matin diberitahu bahawa, kanak-kanak autism itu pernah hilang ketika bersiar-siar di taman Metropolitan, Kepong.

Pembantu pengurusan murid (PPM) kelas pendidikan khas, Nasimah Abu Bakar berkata, demikian ketika perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Saksi pendakwaan ke-10, Nasimah, 33, berkata, perkara itu dimaklumkan selepas dia menghubungi Ismanira pada 5 dan 6 Disember 2023 lalu.

Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi mendapatkan kesahihan mengenai berita kehilangan seorang murid enam tahun, dari sekolah pendidikan khas tempatnya bekerja.

“Saya tanya mengenai peristiwa yang berlaku dan Ismanira beritahu Zayn Rayyan telah lari berdesup.

“Kemudian saya tanya lagi, sama ada kejadian ini pernah berlaku dan dia cakap Zayn Rayyan pernah hilang di Taman Metropolitan, Kepong,” katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi ini berkata, selepas mendapat maklumat mengenai kehilangan Zayn Rayyan, dia menghantar laporan kepada penolong kanan hal ehwal murid (HEM) sekolah, untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan: Lepas maklum kepada pihak atasan, apa yang kamu buat?

Nasimah: Esoknya saya hubungi ibunya semula, untuk bertanya pernahkah ke Zayn Rayyan lari dari ibunya?

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan: Kenapa kamu tanya?

Nasimah: Sebab dia kata, Zayn Rayyan lari berdesup pada 5 Disember 2023.

Pendakwaan: Bagaimanapun, pada tarikh itu sebelum kejadian kehilangan, adakah Zayn Rayyan datang ke sekolah?

Nasimah: Ya dia hadir.

Pendakwaan: Kamu tukar lampin pakai buangnya, sebelum Zayn Rayyan pulang ke rumah?

Nasimah: Tidak.

Pendakwaan: Jadi dia memakai lampin pakai buang yang sama, kenapa tidak tukar?

Nasimah: Ya dia guna lampin pakai buang yang sama, sebab tiada keperluan, maksudnya ia tidak kotor, bocor atau penuh.

Sementara itu, saksi ini berkata, Zayn Rayyan merupakan seorang murid yang baik, tidak hiperaktif, kurang tantrum dan jarang menimbulkan masalah.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung 17 Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!