Ismanira tidak abai Zayn Rayyan - Guru kelas

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – Guru kelas Zayn Rayyan Abdul Matin bersetuju bahawa, ibu kanak-kanak autism itu tidak pernah mengabaikannya selain memberi perhatian penuh kepada anaknya.

Saksi pendakwaan kesembilan, Siti Aminah Nor Mad Ali berkata demikian dalam perbicaraan hari kelima, kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Ketika sesi soal balas oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu, saksi berkenaan mengakui sedar dengan masalah yang dihadapi Zayn Rayyan iaitu mengalami autism dan mengalami kesukaran pertuturan.

Lepasan Ijazah Sarjana Pendidikan khas, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) ini juga berkata, pihaknya mengetahui bahawa tertuduh akan membawa Zayn Rayyan ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Selain itu Haresh turut mencadangkan, Ismanira sentiasa menunjukkan keprihatinannya dan tidak pernah mengabaikan keluarga.

Peguam: Adakah ibu Zayn Rayyan sentiasa menyediakan bekal makanan kepada anaknya?

Siti Aminah Nor: Ya.

Peguam: Jika Zayn Rayyan tidak mahu makan contohnya ayam goreng, maka pihak sekolah akan menghubungi ibunya supaya menyediakan bekal makanan lain?

Siti Aminah Nor: Betul.

Artikel Berkaitan:

Peguam: Itu menunjukkan keprihatinan ibu Zayn Rayyan terhadap arwah, betul?

Siti Aminah Nor: Ya.

Peguam: Dia juga mengambil berat mengenai keselamatan anaknya ketika menaiki motosikal dengan menyediakan topi keledar, betul?

Siti Aminah Nor: Ya.

Peguam: Tak pernah sekali pun nampak dia seolah-olah diabaikan, betul?

Siti Aminah Nor: Betul.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2.45 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!