'Terima kasih Tan Sri Muhyiddin' - Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakam penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sepanjang menerajui gabungan itu sejak awal penubuhannya.
Ahmad Samsuri berkata, kepimpinan Muhyiddin sebelum ini telah berjaya meletakkan asas muafakat politik yang kukuh sehingga mampu mencatatkan pencapaian luar biasa dalam landskap politik negara.
"Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sebagai Pengerusi PN dari mula penubuhannya.
"Bersama seluruh kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN, beliau telah membina PN sebagai asas muafakat politik yang dapat bergerak cemerlang sehingga mampu memenangi kerusi besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu diputuskan menerusi mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua Presiden parti anggota dan ahli MPT PN berkuatkuasa pada Ahad.
Mengulas mengenai mandat baharu tersebut, Menteri Besar Terengganu itu menyifatkan ia sebagai satu amanah yang amat berat untuk dipikul, terutama dalam meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan oleh Muhyiddin.
Ujar beliau, rakyat kini meletakkan pengharapan yang cukup tinggi kepada PN untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Tanggungjawab baharu kepada saya ini amatlah besar, berat dan mencabar. Fokus saya kini adalah untuk berbincang dengan kepimpinan MPT PN bagi menentukan pelantikan jawatan mengikut keperluan Perlembagaan PN.
"Apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik ini serta melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,"katanya lagi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Ahmad Samsuri dibuat bagi menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan Januari lalu.
Menurutnya, jawatan Timbalan Pengerusi pula akan disandang Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Ringkasan AI
- Ahmad Samsuri diangkat sebagai Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu
- Muhyiddin Yassin dihargai atas pengabdian sebagai pengerusi sebelumnya
- Pelantikan Ahmad Samsuri diputuskan dalam mesyuarat khas PN
- Ahmad Samsuri menyifatkan mandat baharunya sebagai amanah yang berat
- Muhyiddin Yassin kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi PN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

