Tiada jasad Zayn Rayyan di beting pasir pagi 6 Disember - Saksi

Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama
Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi sambung bicara kes pengabaian yang dihadapinya terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Penduduk pertama yang menemui Zayn Rayyan Abdul Matin di aliran sungai memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, seorang jirannya mendedahkan tiada sebarang jasad dijumpai di kawasan berkenaan pada 6 Disember 2023 lalu.

Saksi pendakwaan keenam, Faizul Najib Abd Munaim, 47, berkata demikian ketika perbicaraan hari keempat kes pengabaian membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.

Saksi ini yang bekerja sebagai eksekutif jualan berkata, jiran bertemunya di kawasan letak kereta sehari selepas mayat Zayn dijumpai iaitu pada 7 Disember tahun sama.

“Dia tanya, di mana saya jumpa arwah Zayn Rayyan, kemudian saya beritahu lokasinya di beting pasir.

“Bagaimanapun, dia mengesahkan tiada jasad mangsa di lokasi berkenaan ketika operasi pencarian pada jam antara 10 hingga 11 pagi, 6 Disember 2023,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Pendakwaan: Sebelum ini kamu ada ke sana?

Faizul Najib: Tidak, itu kali pertama saya ke aliran sungai terbabit.

Pendakwaan: Kamu kata, mula ikut operasi pencarian pada 6 Disember di Apartmen Idaman, tapi kenapa tak ke aliran sungai itu terlebih dahulu?

Faizul Najib: Pada hari pertama, saya tak cari secara meluas, tidaklah sampai ke tahap itu, saya hanya cari di kawasan taman permainan, kedai dan kawasan tumpuan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan: Siapa jiran itu?

Faizul Najib: Dia tinggal di blok lain, Apartmen Saujana.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Zaim Ikhwan Zahari hadir pada hari keempat perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu mengabaikan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun, di Mahkamah Sesyen pada Khamis. Foto Bernama
Zaim Ikhwan Zahari hadir pada hari keempat perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu mengabaikan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun, di Mahkamah Sesyen pada Khamis. Foto Bernama

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!