Zayn Rayyan tidak suka lari, duduk di satu sudut - Guru kelas

Zayn Rayyan Abdul Matin
Zayn Rayyan Abdul Matin
A
A
A

PETALING JAYA – Guru kelas pendidikan khas Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, kanak-kanak itu tidak suka berlari dan gemar duduk di satu sudut kelas.

Saksi pendakwaan kesembilan, Siti Aminah Nor Mad Ali berkata demikian dalam perbicaraan hari kelima, kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Siti Aminah Nor, 40, berkata, sepanjang berada di sekolah, anak sulung pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu juga tidak akan memukul, mengetuk dinding atau mengigit, seperti kanak-kanak autism lain.

“Sebaliknya dia akan duduk di satu sudut dengan diam sehingga saya memberi arahan.

“Kalau dia mahu sesuatu, dia meminta kebenaran terlebih dahulu dengan cara memegang tangan saya,” katanya yang menahan sebak.

Siti Aminah Nor yang juga lepasan Ijazah Sarjana Pendidikan khas, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) berkata, bekas muridnya merupakan autism yang pasif dan tidak banyak kerenah.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, guru ini berkata, Zayn Rayyan seakan berada dalam dunia sendiri dan melakukan aktiviti yang digemari.

Walaupun Zayn Rayyan tidak berkomunikasi dengan rakan sekelasnya, namun beliau berkata, mereka akan bermain di dalam kelas dan berinteraksi dengan cara tersendiri.

“Ini kerana, arwah boleh mendengar arahan mudah seperti menyuruhnya memakai kasut atau mengambil beg.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan budak autism akan berkelakukan seperti itu, kerana mereka mempunyai imaginasi sendiri, yang kita sendiri tak tahu perkara yang mereka fikirkan,” katanya.

Sementara itu ketika pemeriksaan balas, saksi ini bersetuju dengan cadangan peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira dan Zaim Ikhwan bahawa persepsi kanak-kanak autism berbeza mengikut persekitaran.

Siti Aminah Nor juga mengakui bahawa perwatakan dan riaksi kanak-kanak autism, ketika di luar sekolah, adalah sukar diramal.

Selain itu Haresh turut mencadangkan, Ismanira sentiasa menunjukkan keprihatiannya dan tidak pernah mengabaikan keluarga.

Peguam: Adakah ibu Zayn Rayyan sentiasa menyediakan bekal makanan kepada anaknya?

Siti Aminah Nor: Ya.

Peguam: Jika Zayn Rayyan tidak mahu makan contohnya ayam goreng, maka pihak sekolah akan menghubungi ibunya supaya menyediakan bekal makanan lain?

Siti Aminah Nor: Betul.

Peguam: Itu menunjukkan keprihatinan ibu Zayn Rayyan terhadap arwah, betul?

Siti Aminah Nor: Ya.

Peguam: Dia juga mengambil berat mengenai keselamatan anaknya ketika menaiki motosikal dengan menyediakan topi keledar, betul?

Siti Aminah Nor: Ya.

Peguam: Saya cadangkan, setiap hari Zayn Rayyan seronok ke sekolah?

Siti Aminah Nor: Betul.

Peguam: Tak pernah sekali pun nampak dia seolah-olah diabaikan, betul?

Siti Aminah Nor: Betul.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2.45 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!