Rumah kedai jadi premis judi online

SERDANG - Sebuah unit rumah kedai di Taman Kinrara yang dijadikan pusat perjudian dalam talian antara 10 premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya mengesan sindiket menyediakan tablet untuk kegiatan perjudian dalam talian di kediaman tersebut.
"Ia lebih memudahkan sindiket perjudian dalam talian itu beroperasi di kediaman berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Ops Pemotong Bekalan Elektrik di Taman Kinrara di sini pada Rabu.
Anbalagan berkata, pihaknya telah menahan 29 individu termasuk sembilan warga asing dalam Op Dadu di 19 premis perjudian dalam talian sejak Julai sehingga 19 Januari lalu.
"Kita turut merampas 107 tablet, tujuh telefon bimbit dan wang tunai RM4,500 dalam operasi itu," katanya.
Anbalagan berkata, 10 premis di daerah ini telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.
"Tindakan pemotongan elektrik itu dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata, dalam operasi sama, pihak TNB juga turut mengesan sambungan elektrik haram yang dibuat oleh sindiket perjudian.
"Kita turut melakukan tindakan menyita premis terbabit di mana, pemiliknya perlu tampil kepada pihak TNB untuk mendapatkan sambungan meter elektrik baru.
"Pihak TNB akan memaklumkan kepada polis bagi mendapatkan kebenaran sokongan untuk memasang kembali meter elektrik yang dipotong," katanya.
Anbalagan berkata, pihaknya percaya premis itu disewa sindiket, namun didaftarkan atas nama individu berbeza.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap kegiatan sindiket perjudian dalam talian di daerah ini," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
