66 warga asing ditahan dalam serbuan di 10 premis penginapan

KAJANG - Seramai 66 warga asing ditahan dalam serbuan ke atas 10 premis penginapan di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang, pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah memeriksa seramai 110 individu yang terdiri daripada warga asing dan warga tempatan dalam operasi yang bermula jam 12.05 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan, seramai 66 warga asing yang terdiri daripada 28 lelaki, 30 wanita dan satu kanak-kanak perempuan warga Indonesia ditahan.
"Kita turut menahan enam lelaki Bangladesh dan satu lelaki Myanmar dalam operasi itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga hari.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, seramai 51 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya diatur gerak ke premis penginapan tersebut," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua individu itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama.
"Kesemua mereka telah dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
