Bahana 'cinta' dalam talian

Aplikasi media sosial dan cari cinta (dating apps) dikesan digunakan penjenayah seksual untuk berkenalan hingga menjerat mangsa terutama kanak-kanak. Gambar hiasan (Gambar kecil: Siti Kamsiah)
Aplikasi media sosial dan cari cinta (dating apps) dikesan digunakan penjenayah seksual untuk berkenalan hingga menjerat mangsa terutama kanak-kanak. Gambar hiasan (Gambar kecil: Siti Kamsiah)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Aplikasi media sosial dan cari cinta (dating apps) dikesan digunakan penjenayah seksual untuk berkenalan hingga menjerat mangsa terutama kanak-kanak.

Buktinya, statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan sejumlah 633 kes pada tahun lalu membabitkan aplikasi Facebook, Google, Instagram, Leomatch, Omi, telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, Bumble, Litmatch dan Tinder.

Lebih mengejutkan, terdapat 6 kes direkodkan membabitkan kes seksual melalui perkenalan di permainan dalam talian (online game).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kajian yang dijalankan pihaknya berdasarkan kes yang direkodkan mendapati media sosial dijadikan sebagai platform kepada pelaku untuk mencari dan mengenal pasti mangsa.

Menurutnya, pelaku akan mencari dan 'mendekati' mangsa dengan menggunakan nama samaran atau identiti palsu.

"Suspek bukan mencari secara rambang, sebaliknya akan kenal pasti mangsa terlebih dahulu dan ketahui apa aktivitinya, minat sebelum berkenalan untuk membina persefahaman,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian di Bukit Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, suspek akan meyakinkan mangsa dan mencari keselesaan bagi mendapatkan kepercayaan.

Jelas Siti Kamsiah, daripada situ bila sudah ada kepercayaan suspek akan mula mengawal mangsa dan melakukan grooming (pengantunan) ke arah perlakuan seksual terutama kanak-kanak.

“Selepas ada kepercayaan itu, suspek akan menarik dengan perbualan biasa kepada perbualan dan perkongsian berunsur seksual yang akhirnya pergi ke hubungan cinta.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa yang mula menaruh harapan akan dikawal suspek hingga akhirnya berkongsi gambar atau video berunsur seksual seperti berbogel dan sebagainya. Di sinilah suspek akan mula mengugut, kalau tidak ikut, akan mula buat pemerasan dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah mencari mangsa yang sering menonjol di media sosial.

Tambah beliau, mangsa paling ramai direkodkan bagi lingkungan umur antara 13 hingga 16 tahun.

“Tidak dinafikan ada kes di bawah usia 12 tahun, tapi sedikit. Mungkin atas faktor usia sebegini masih berada di kawalan ketat ibu bapa, sedikit sukar untuk suspek berjumpa dan berkomunikasi,” katanya.

Jumpa lepas kenal satu jam

Ujar Siti Kamsiah, dalam kes sebegini pelaku dan mangsa adalah kenalan baharu.

“Modus operandi ialah grooming dan boleh jadi dalam masa sejam. Kalau mangsa mudah terpedaya, bergantung sejauh mana rentan mangsa dan nilai moralnya.

“Seawal sejam sudah boleh ajak berjumpa. Sekarang mudah, hantar lokasi boleh terus datang.

“Permulaan jumpa kebiasaan mungkin ajak minum, menonton wayang. Itu biasa. Hanya dengan permulaan chatting hingga boleh membawa perjumpaan tanpa mengenali latar belakang pelaku,” katanya.

Katanya, statistik juga merekodkan usia di atas 18 tahun paling ramai sebagai pelaku.

“Tapi kebelakangan ini berlaku peningkatan pelaku kanak-kanak bawah 18 tahun di peringkat sekolah menengah dan rendah, walaupun jumlahnya tidak drastik tetapi setiap tahun berlaku peningkatan," ujarnya.

Siti Kamsiah berkata, jika dilihat kes ini bukan orang dewasa sahaja lakukan jenayah bermakna kanak-kanak juga terlibat sebagai pelaku.

“Kita percaya kes sebegini lebih kepada individu, bukan kumpulan tertentu atau bersindiket,” ujarnya.

Didik tentang red flagTegas Siti Kamsiah, ibu bapa perlu mendidik dengan nilai agama, adab dan mainkan semula fungsi institusi keluarga kepada anak.

“Selain itu, anak-anak ini juga perlu dididik tentang red flag atau tanda awal sekiranya pelaku meminta sesuatu yang berunsur seksual.

“Jika sampai pelaku minta buka baju dan sebagainya, perlu tahu batas itu. Ia sudah melanggar norma budaya kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!