Beli kunci 'mainhole' dalam talian untuk curi kabel

Mohd Zaidi bersama pegawainya menunjukkan antara peralatan yang dirampas susulan penahanan tiga individu yang terlibat kes curi kabel di daerah Pekan, baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN
Mohd Zaidi bersama pegawainya menunjukkan antara peralatan yang dirampas susulan penahanan tiga individu yang terlibat kes curi kabel di daerah Pekan, baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

PEKAN - Pencuri kabel yang ditahan di daerah ini mengaku membeli kunci 'mainhole' di platform jual beli dalam talian pada harga di bawah RM100 untuk memudahkan mereka melakukan jenayah itu.

Alat tersebut biasanya digunakan kontraktor khusus untuk membuka 'mainhole' kabel utama terutamanya milik syarikat utiliti dan komunikasi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, perkara itu didedahkan berdasarkan pengakuan tiga individu yang ditahan kerana terlibat dalam kes curi kabel di Pulau Serai di sini, 16 Januari lalu.

Menurutnya, salah seorang yang ditahan merupakan bekas pekerja kontraktor sebuah syarikat telekomunikasi dipercayai tahu kegunaan alat tersebut dan membelinya untuk aktiviti jenayah mereka.

"Peralatan itu antara yang dirampas susulan penahanan tiga lelaki berusia 22 hingga 29 tahun itu sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada Selasa.

Mohd Zaidi menunjukkan kunci 'mainhole' yang dirampas susulan penahanan tiga individu yang terlibat dalam kegiatan curi kabel di daerah Pekan, baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN
Mohd Zaidi menunjukkan kunci 'mainhole' yang dirampas susulan penahanan tiga individu yang terlibat dalam kegiatan curi kabel di daerah Pekan, baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN

Sementara itu, Mohd Zaidi percaya pihaknya telah berjaya menyelesaikan dua kes kecurian kabel yang dilaporkan di daerah itu sejak awal Januari susulan penahanan individu terbabit.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu susulan penugasan rondaan dan pemerhatian anggotanya di kawasan yang sering berlakunya kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) di kawasan Kampung Pulau Serai dan Taman Mentiga Jaya di sini pada 16 Januari lalu.

"Semasa melakukan rondaan, anggota terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan sebelum diarah berhenti untuk pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu kereta bertindak nekad melarikan diri sebelum anggota bertindak mengejarnya hingga ke Sungai Isap, Kuantan," katanya.

Mohd Zaidi menunjukkan kereta curi yang diguna tiga individu yang ditahan kes curi kabel di daerah Pekan, baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN
Mohd Zaidi menunjukkan kereta curi yang diguna tiga individu yang ditahan kes curi kabel di daerah Pekan, baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN

Mohd Zaidi berkata, kenderaan terbabit berjaya dikepung dan tiga lelaki yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan digunakan menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk kuku kambing, alat pemotong kabel, kunci 'mainhole', tukul, lampu baton trafik, batang kabel yang siap dipotong dan nombor plat kenderaan.

"Semakan ke atas kereta jenis Proton Wira Aeroback SE warna hitam menggunakan nombor pendaftaran palsu itu mendapati ia kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kuantan," katanya.

Jelasnya, berdasarkan pengakuan, sasaran mereka kabel TM dan hasil kegiatan ini digunakan untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian," katanya.

"Semua saspek kini telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379, Seksyen 411 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!