[VIDEO] Sindiket seludup senjata api, empat nelayan ditahan
GEORGE TOWN - Empat nelayan termasuk dua warga Indonesia ditahan bersama lima pistol, enam kelopak pistol, selaras senapang M4 dan 801 butir peluru di kawasan perairan Sungai Perai pada Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, selain itu, kesemua senjata api itu ditemui di dalam sebuah bot gentian kaca oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Satu yang menjalankan rampasan pada jam 3 petang itu.

Menurutnya, polis menahan keempat-empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 57 tahun di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai.
Tambah beliau, ketika Pasukan Polis Marin membuat rondaan di kawasan pelabuhan, mereka mendapati ada dua buah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika ditahan, mereka sedang menuju dari arah Pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Jambatan Pulau Pinang.
"Setelah pemeriksaan dilakukan, kita merampas lima pucuk pistol dan selaras senjata M4 berserta peluru. Antara barangan lain adalah dua pucuk pistol jenama Sig Sauer berserta tiga kelopak, dua pucuk pistol jenama Glock berserta dua kelopak dan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berserta satu kelopak.
"Selain itu, kita turut merampas selaras senjata jenis M4 Carbine Cal / 5.56 nato 1:8 5.6mm, lapan kelopak M4 dan 600 butir peluru M4, empat kotak peluru 9mm bertulis bullet master yang setiap satunya berisi 50 butir," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban di sini pada Selasa.
Tambah beliau lagi, polis juga merampas sebutir peluru jenis s&b 9x19 21, satu unit holster, satu unit holster magazine, sebuah peralatan telekomunikasi dan sebuah telefon satelit jenama Inmarsat serta wang tunai berjumlah RM4,030.
"Keempat-empat suspek dipercayai ahli sindiket penyeludupan senjata api, seorang suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan ketum manakala tiga lagi tiada rekod lampau.
"Kesemua senjata api ini dipercayai dibawa dari Thailand melalui jalan laut untuk dijual kepada pembeli di sini. Polis percaya, ada ahli sindiket yang masih lagi bebas dan kita akan mempertingkatkan lagi siasatan," katanya.

Hamzah menambah, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua warga asing itu masuk secara sah namun menyalahgunakannya untuk kegiatan jenayah.
"Kesemua senjata api tersebut dipercayai berlaku di perairan antarabangsa dan dibawa masuk ke negara ini untuk tujuan jenayah, dipercayai kali pertama menjalankan kegiatan jual beli senjata api ini namun siasatan lanjut dijalankan.
"Bot itu juga merupakan bot sewa untuk menjalankan kegiatan haram mereka," katanya.
Hamzah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
"Keempat-empat suspek telah direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 3 Februari bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

